LAUTAN manusia berpakaian hitam berkumpul di tengah Bangkok awal Khamis untuk upacara pemakaman Raja Bhumibol Adulyadej, raja yang dihormati yang meninggal setelah pemerintahan selama tujuh dekad meninggalkan seluruh Thailand sedih atas pemergian satu-satunya tokoh penyatuannya.
Sejak subuh lagi kira-kira 200,000 warga Thailand berkumpul di sekitar Istana Raja untuk memberikan penghormatan terakhir kepada raja yang dikenali sebagai “Bapa Negara”, mereka berkumpul di jalanan dan ramai memegang potret raja kesayangan mereka tersebut.
Menara emas bernilai AS$90 juta untuk tapak pembakaran, yang dibina khas untuk pengebumian tersebut, dilimpahi lampu ketika anak dan waris Bhumibol, Raja Maha Vajiralongkorn, menyertai sami Buddha untuk memulakan hari perarakan yang suram, pertunjukan meriah dan upacara keagamaan.
Vajiralongkorn akan menyalakan api pengebumian pada pukul 10 malam waktu tempatan (1500 GMT) sambil bapanya, Rama IX daripada dinasti Chakri, dikebumikan.
Upacara itu akan dihadiri oleh golongan ternama Thailand—kerabat diraja, jeneral-jeneral dan tokoh organisasi—serta orang kenamaan dari luar negara.
Acara mewah itu memberi orang ramai peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada raja yang telah ditabalkan pada 1950 dan selama beberapa dekad menjulang sejarah Thailand, sebelum kematiannya Oktober tahun lalu ketika berusia 88 tahun.
Propaganda istana dan undang-undang penderhakaan yang keras sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya sepanjang pemerintahannya.
Tetapi hubungan yang rapat antara Bhumibol dengan rakyat terbukti apabila warga Thailand dari seluruh negara menunggu berdekatan tapak pembakaran mayat.
“Beliau sempurna. Beliau telah banyak membantu negara dan rakyat Thailand. 70 juta rakyat Thailand bersatu dalam kecintaan terhadap beliau,” kata Wacharadej, 65, seperti kebanyakan rakyat Thailand yang lain tidak mengenali raja lain sebelum kemangkatan Bhumibol.
“Tiada lagi seorang bapa yang sentiasa berbakti kepada anak-anaknya,” kata Kingkan Kuntavee kepada AFP.
Pemerintahan yang bergelora
Ketika pemerintahan Bhumibol negara Thailand terjebak dalam protes ganas, kerajaan awam jangka pendek dan rampasan kuasa.
Kegawatan politik menyebabkan pemerintahan tentera dan perdana menteri bertukar ganti, tetapi kesemuanya tidak dapat melakukan seperti apa yang Bhumibol lakukan kepada rakyat Thailand.
Beliau meninggalkan salah satu monarki terkaya di dunia, yang paling menyerlah dalam satu masyarakat yang tidak sama rata di Asia Tenggara.
Penghormatan terhadap monarki—dan golongan elit yang di bawahnya—adalah wajib di Thailand.
Upacara istana yang penuh rahsia memperkuatkan status monarki yang dihidupkan semula pada era Bhumibol.
Raja baru yang memakai seragam ketenteraan pada pagi ini dan dihadiri oleh pembantu istana ketika baginda memulakan upacara pengebumian, akan ditabalkan setelah bapanya dikebumikan.
Baginda masih belum memenangi hati rakyat Thailand seperti bapanya, yang imejnya dijaga dengan sangat berhati-hati oleh bahagian perhubungan awam istana, mengukuhkan reputasinya sebagai seorang yang sederhana, murah hati dan tidak korup.
Undang-undang fitnah diraja Thailand melindungi monarki daripada kritikan, membawa hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan.
Undang-undang tersebut menjadikan analisis bebas dan perdebatan umum mengenai monarki adalah mustahil di Thailand.
Kesannya (undang-undang), ia “telah memonopoli cara rakyat Thailand berfikir mengenai politiknya sendiri,” kata ahli sejarah, David Streckfuss kepada AFP.
Kerajaan tentera telah memenjarakan ramai orang di bawah undang tersebut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan sejak 2014.
Hanya berumur 18 ketika beliau menaiki takhta, Bhumibol yang lahir di Amerika Syarikat menjadi tumpuan monarki.
Pemerintahannya berkembang dengan sokongan AS yang kuat ketika Washington mencari benteng bagi menentang penyebaran Komunisme di Asia Tenggara.
Rakyat Thailand sejak tahun lalu kebiasaannya memakai pakaian hitam sebagai tanda bersedih ang secara rasmi berakhir pada 30 Oktober.
Mereka dijangka akan memakai pakaian berwarna-warni pada akhir upacara tersebut, yang meraikan pendakian raja tersebut ke Gunung Meru, pusat alam semesta bagi Buddha, Hindu dan Jain. – AFP, 26 Oktober, 2017.
Komen