.jpg)
MASALAH buli kembali menarik perhatian masyarakat apabila pelakon popular, Rita Rudaini mendedahkan anaknya turut menjadi mangsa buli. Anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 10, dilaporkan trauma selepas menjadi mangsa buli rakan sekelasnya di sekolah.
Tindakan berulang kali kanak-kanak itu membuatkan anaknya takut untuk ke sekolah selain meminta untuk ditukar sekolah.
Ironinya ini bukan kes buli pertama berlaku di negara ini, malah sudah pernah ada kes buli sehingga mangsa meninggal dunia atau mengalami pelbagai komplikasi kesihatan dan kecederaan fizikal serta mental yang teruk.
Persoalannya, kenapa buli masih terus berlaku sehingga murid sekolah rendah bawah 12 tahun turut boleh menjadi pembuli.
Perbuatan buli boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu, buli secara secara mental dan buli secara fizikal. Antara perbuatan buli secara mental ialah pelaku suka kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir mangsa secara berterusan dan boleh jadi sepanjang mangsa sehingga menjejaskan emosi dan perasaan mangsa.
Manakala buli secara fizikal membabitkan tindakan agresif seperti pukul dan sepak serta menggunakan peralatan lain untuk mencederakan mangsa.
Perbuatan buli serta kesan-kesannya sudah diperdebatkan secara meluas dalam media massa dan juga oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar bidang yang berkaitan, jadi saya lebih suka ingin fokus kepada kaedah untuk tangani masalah buli ini.
Saya percaya semua pihak akan bersetuju dengan pandangan ibu bapa merupakan individu yang paling penting dalam membantu menangani masalah buli ini. Hal ini kerana antara punca anak menjadi pembuli ialah kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang dalam keluarga, berasal dari keluarga yang bermasalah dan porak peranda, serta kurangnya didikan agama.
Semua isu ini boleh diselesaikan oleh ibu bapa jika benar-benar prihatin dan ambil berat tentang anak masing-masing.
Misalnya walau sesibuk mana sekalipun, jangan abaikan masa bersama anak. Semua ibu bapa perlu luangkan masa berkualiti bersama anak setiap hari supaya anak tidak rasa sepi dan keseorangan serta ada tempat untuk berkongsi masalah mereka. Ibu bapa juga boleh mengambil tahu dengan siapa anak kita berkawan supaya mereka tidak salah pilih kawan.
Ajaran agama juga cukup penting bagi membentuk akhlak dan sahsiah diri seorang individu. Maka eloklah ibu bapa memberi perhatian serius dalam hal ini kerana kita percaya semua agama menyeru kepada kebaikan dan menegah perbuatan yang mumudaratkan seperti membuli. Biarlah agama menjadi benteng yang menghalang anak kita terjebak dalam perbuatan membuli orang lain baik secara mental mahupun fizikal.
Pada masa yang sama pihak sekolah juga boleh memainkan peranan yang efisien dalam membantu menangani masalah buli ini. Elemen pendidikan jelas boleh dijadikan senjata utama untuk membanteras gejala buli dalam kalangan anak-anak di sekolah. Pihak sekolah boleh menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kesedaran secara berkala dan konsisten supaya anak-anak memahami fenomena buli ini secara menyeluruh.
Dalam pada itu kebanyakan perbuatan buli didapati berlaku di sekolah asrama jadi elemen pemantauan di asrama juga perlu dinilai semula. Warden yang ditugaskan perlu bertindak dengan lebih agresif dan efisien supaya dapat mencegah anak-anak terjebak dalam perbuatan buli.
Pemeriksaan mengejut secara berkala serta langkah penguatkuasaan hukuman yang sewajarnya perlu diperkasakan supaya anak-anak takut serta sedar perbuatan buli itu merupakan satu kesalahan yang besar.
Besarlah juga harapan kita agar pihak sekolah tidak sama sekali merahsiakan sebarang perbuatan buli yang telah berlaku di sekolah masing-masing.
Perbuatan buli dilihat semakin menjadi trend dalam kalangan anak-anak kita sejak dari bangku sekolah rendah hingga ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ramai juga yang telah menjadi mangsa perbuatan buli ini termasuk ada yang hilang nyawa secara cukup tragis.
Jadi sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa serta sebelum lahir lebih ramai lagi pembuli, eloklah semua pihak berganding bahu menjayakan agenda menangani masalah buli ini di negara kita. – 27 November, 2019.
* Noor Mohamad Shakil Hameed merupakan Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen