SEORANG lelaki yang bekerja sendiri ditahan bersama selaras senapang angin buatan sendiri dalam serbuan di sebuah taman perumahan di Lubok China, di Alor Gajah semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah ke lokasi berkenaan hasil risikan dan maklumat orang awam pada 8.30 pagi.
“Dalam serbuan itu polis menjumpai selaras senapang angin buatan sendiri bersama 21 butir ‘ball bearing’ dipercayai digunakan sebagai peluru yang didakwa suspek digunakan bagi tujuan memburu ayam hutan.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang sah, manakala ujian air kencing suspek pula didapati positif Methamphetamine dan suspek kini ditahan reman sehingga esok,” katanya dalam kenyataan di Alor Gajah, hari ini.
Beliau berkata suspek yang berusia 35 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau atas kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952.
Arshad turut menasihat orang ramai agar tidak memiliki senjata api tanpa lesen yang sah kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang lain selain banyak prosedur perlu dipatuhi sekiranya memiliki senjata api sendiri.
“Jika terdapat sesiapa yang menyimpan senjata api seperti ini hendaklah menyerahkan secara suka rela kepada pihak polis agar tidak diambil tindakan mengikut undang-undang yang diperuntukkan,” katanya. – Bernama, 27 November, 2019.
Komen