Pesara swasta rugi RM251,998 ditipu 


SEORANG pesara sebuah syarikat swasta kerugian RM251,998 selepas ditipu sindiket telefon scam yang mendakwa wanita itu terlibat dengan pengubahan wang haram dalam kejadian di Kepala Batas semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 60-an itu menerima panggilan daripada seorang perempuan mendakwa daripada Pejabat Pos Laju Malaysia dan memaklumkan terdapat barangan yang dikirim mengandungi kad pengenalan dan kad bank milik mangsa.

“Wanita itu memaklumkan panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada ke Ibu Pejabat Polis Kuantan, Pahang dan bercakap dengan anggota polis yang berpangkat sarjan sebelum dia memaklumkan mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram,” katanya di Kepala Batas hari ini.

Lelaki itu, yang mendakwa sebagai anggota polis, memberitahu mangsa kes itu masih dalam siasatan dan meminta agar wanita berkenaan tidak memaklumkan kepada sesiapa memandangkan dia suspek dalam kes itu serta meminta memberi kerjasama.

Menurutnya, wanita itu memberitahu panggilan telefon itu disambungkan kepada pegawai polis berpangkat inspektor yang memaklumkan suspek utama telah ditangkap dan berkemungkinan besar mangsa juga terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram berkenaan.

Noorzainy berkata, suspek yang mengaku sebagai pegawai polis itu meminta mangsa mengikut semua arahannya dan tidak memaklumkan kepada sesiapa sepanjang proses siasatan kerana bimbang maklumat siasatan akan bocor.

“Wanita yang sebelum ini bekerja sebagai penyelia sebuah syarikat swasta itu terkejut dan terlalu takut menerima maklumat itu tanpa berfikir panjang terus mengikut semua arahan daripada “pegawai polis” yang meminta dia memindahkan wangnya ke dalam enam akaun diberikan suspek membabitkan jumlah RM251,998,” katanya.

Katanya wanita itu hanya menyedari dia telah ditipu selepas gagal menghubungi semula pegawai polis berkenaan dan bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan anggota sindiket dan pemilik enam akaun digunakan kumpulan itu untuk tujuan pemindahan wang mangsa.

“Kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar jangan mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk membuat pengesahan. – Bernama, 27 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen