Jangan masuk campur, kata Daim mengenai peralihan kuasa PM


Ragananthini Vethasalam

Daim Zainuddin menggesa semua pihak memberi ruang kepada Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan sendiri mengenai peralihan kuasa perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 November, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim perlu dibiarkan bersendirian untuk memutuskan hal peralihan kuasa, kata Daim Zainuddin hari ini.

Bekas menteri kewangan dan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata tidak sepatutnya ada campur tangan luar dalam proses melibatkan kedua-dua pemimpin itu.

“Biarkan mereka membuat keputusan. Kami tidak mahu masuk campur,” katanya di forum Asian Institute & Leadership (Asli) mengenai “Kemiskinan di Malaysia: Realiti vs Persepsi “.

Daim berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai peralihan kuasa oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Melissa Ong.

Di bawah perjanjian antara parti dalam Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan atau garis masa bagi peralihan itu, walaupun kedua-dua pemimpin berulang kali mengatakan perjanjian itu akan dipatuhi.

Mengenai aspirasi beliau terhadap negara, Daim berkata beliau mahukan keamanan dan perpaduan serta rakyat benar-benar menghayati dan memelihara identiti sebagai warga Malaysia.

Beliau menyeru rakyat memperjuangkan kepelbagaian dan bekerjasama dalam membangunkan negara.

“Mari kita lawan mereka yang menentangnya.”

Rakyat Malaysia harus hidup dan mati sebagai rakyat Malaysia, katanya. – 27 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen