Keingkaran Nor Salwani Muhammad


SUATU ketika dahulu, pengarah audit Nor Salwani Muhammad diarahkan untuk memusnahkan salinan asal laporan 1MDB.  Beliau tidak memusnahkan kesemuanya. Satu laporan asal telah disimpan. Beliau juga merakamkan isi perbincangan mesyuarat yang sulit berkenaan dengan 1MDB.

Dari segi takrifan bahasa yang digunakan oleh orang awam berhubung dengan tugas dan tanggungjawab perkhidmatan awam, beliau telah “ingkar arahan”.

Ada ahli falsafah undang-undang seperti Prof HLA Hart yang mengatakan undang-undang tetaplah undang-undang dan perlu dipatuhi oleh semua orang dalam semua keadaan tanpa mengambil kira isi kandungan undang-undang tersebut.

Akan tetapi dalam perdebatan dengan Lon Fuller akhirnya beliau mengakui bahawa perlu ada “isi moral minimum” (“minimum content of morality”) dalam sesuatu undang-undang.  Adakah kita perlu mematuhi arahan atau undang-undang yang dirasakan tidak adil?  

Persoalan ini bukanlah satu perkara yang baru dalam pengajian falsafah undang-undang.  Dalam Tribunal Jenayah Perang Nuremberg dan Tokyo, para tertuduh jenayah Perang Dunia Kedua menggunakan alasan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan pun.  

Mereka berhujah bahawa walaupun mereka membunuh pihak “civilian” semasa perang, mereka hanya mematuhi undang-undang dan arahan pihak atasan – maka semestinya mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.  

Hujah dan alasan mereka tersebut tidak diterima oleh pihak tribunal.  Hujah yang sama juga telah dipakai dalam sesi perbicaraan di Malaya semasa zaman pemerintahan Tentera British (British Military Administration).  Tribunal Tentera British di Malaya membicarakan kes yang melibatkan mereka yang dituduh sebagai tali barut tentera Jepun. Hujah dan alasan tersebut juga telah ditolak di Malaya pada zaman tersebut.

Namun di tengah-tengah kegigihan sesetengah pihak yang mengutuk Nor Salwani kerana melanggar undang-undang, penting juga bagi kita mempersoalkan motif mereka.

Ini adalah kerana selama ini sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, terdapat banyak pelanggaran undang-undang yang dilakukan dalam perkhidmatan kerajaan yang juga telah dilaporkan di media utama, akan tetapi tiada langsung suara-suara mereka ini kedengaran.

Sebagai contoh, di mana suara mereka apabila naib canselor sebuah universiti awam mengisytiharkan perasaan bangga beliau membantu Umno dan menghantar para pelajar universiti ke program Umno?

Di mana juga suara mereka apabila terdapat pensyarah universiti awam yang terlibat aktif dalam Umno, bertanding merebut jawatan dalam Umno dan memegang jawatan dalam Umno?  

Di mana suara mereka apabila naib canselor universiti  berkempen untuk Umno , sebagai , “kita perlu memenangkan kerajaan yang ada sekarang agar universiti dan tempat ibadah kita tidak hilang”? 

Di mana suara mereka apabila pegawai atasan di sebuah universiti awam bersyarah kepada staf akademik, “pensyarah-pensyarah universiti yang tidak menyokong Umno, anda tidak layak mengajar di universiti ini”?

Kesemua perkara ini telah merungkaikan sisi pahit undang-undang di mana undang-undang itu juga merupakan alat kuasa dan kekuasaan pemerintah.

Selama ini , ramai yang bertumpu kepada “sisi lembut” undang-undang iaitu sebagai satu alat untuk mengekalkan keamanan dan melindungi keadilan.  Akan tetapi undang-undang tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh pemerintahan.

Dalam mengawal perilaku individu dan masyarakat sesebuah negara, adalah tidak mustahil undang-undang itu juga digunakan untuk menguasai individu dan masyarakat bagi menjaga kepentingan pemerintah dan di sinilah terungkai sifat lahiriah undang-undang tersebut yang merupakan alat kekuasaan pemerintah.  

Disebabkan “sisi pahit” undang-undang ini lah maka mereka yang mengutuk Nor Salwani kelihatan seakan-akan hilang ingatan terhadap pelanggaran undang-undang yang dilakukan sebelum ini 

Amat menarik apabila melihat kepada reaksi mereka yang mengutuk keingkaran Nor Salwani tersebut, seolah-olahnya terdapat beberapa kasta atau kategori keingkaran undang-undang.  Persepsi mereka seolah-olahnya terdapat keingkaran yang dianggap “berdosa” dan ada keingkaran yang dianggap “picisan” dan semestinya tidak mustahak.

Persepsi ini bertitik tolak dari pegangan mereka bahawa pihak atasan mempunyai budi bicara mutlak untuk membuat apa sahaja dan ia tidak boleh dipersoalkan. Sesiapa pun yang belajar undang-undang akan faham dan akur bahawa budi icara ini tidak wujud dalam undang-undang. “Kebudayaan kekuasaan” ini sudah lama berakar umbi dalam masyarakat yang sakit.  

Amat senang sekali bagi sesiapa pun untuk menyalahkan orang lain bagi salah guna kuasa yang berlaku di mana-mana jabatan kerajaan. Salah guna kuasa yang telah menjadi budaya ini tidak akan dapat bertahan tanpa sokongan orang biasa di jabatan kerajaan.

Fenomena ini dikenali sebagai “banality of evil”, yang diperkenalkan oleh  Hannah Arendt, yang memperlihatkan penerimaan orang biasa dalam kelompok masyarakat yang terus-menerus menjadikan salah guna kuasa itu satu kebiasaan yang normal. 

Mereka juga tidak mahu atau tidak mampu memikirkan apakah salah guna kuasa itu satu perkara yang tidak wajar. Lantaran itu mereka akur dengan mana-mana arahan yang bersifat dangkal yang melindungi salahgunakuasa.  

Lebih daripada itu, mereka juga bersepakat untuk memusuhi mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan salah guna kuasa tersebut.  

Ada juga kemungkinan mereka bertindak sedemikian kerana menjaga kepentingan diri sendiri dan “periuk nasi” sendiri.  

Semua ini menyokong analisis bahawa mana-mana tindakan yang zalim beserta dengan salah guna kuasa dalam masyarakat tidak boleh hanya dipersalahkan golongan atasan dan kepimpinan sahaja. Ia tidak akan dapat berlaku tanpa sokongan pihak bawahan.

Maka dengan itu sewajarnya kita bertanya mengapakah sehingga kini tiada tindakan yang serius yang telah diambil terhadap golongan pekerja di jabatan kerajaan yang selama ini menyokong salah guna kuasa di tempat kerja mereka.  

Di sesetengah jabatan kerajaan, seolah-olahnya terdapat polisi “kosong-kosong”, di mana secara tersiratnya “dosa-dosa yang lampau” telah diampunkan, “let bygones be bygones”, “let’s move on”. 

Apakah rasional polisi ini apabila dilihat kepada aduan-aduan yang telah dibuat selama ini yang telah sewenang-wenangnya dinafikan dan tidak dipedulikan?  

Di universiti awam baru-baru ini telah dilancarkan kempen integriti akademik.  Akan tetapi yang menjadi persoalan adalah apakah kefahaman pentadbir baru di universiti ini berkenaan denga akademik hanya berkisar terhadap plagiarism  sahaja? 

Integriti akademik sememangnya lebih besar daripada hal-hal plagiarism. Ia juga  melibatkan kepentingan peribadi kejujuran kesarjanaan. 

Setelah lebih daripada satu tahun kemenangan Pakatan Harapan, perkara ini masih menjadi satu tanda tanya. Adakah mereka serius dalam wacana integriti penjawat awam, atau adakah mereka mempunyai muslihat politik di dalam berdepan dengan “macai”  atau “pembodek pengampu” Barisan Nasional yang masih berada dalam perkhidmatan kerajaan. 

Dalam hal yang melibatkan Nor Salwani, kerajaan perlu telus. Adakah terdapat ramai lagi penjawat awam yang telah melawan salah guna kuasa pada zaman kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan sekiranya mereka dizalimi, apakah tindakan pembetulan yang telah diambil?. – 27 November, 2019.

* Mohd Nazim Ganti Shaari ialah pensyarah di Fakulti Undang-Undang, Uitm Shah Alam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen