PRESIDEN Donald Trump dijangka bertemu dengan penasihat dan pegawai tertinggi bagi mengisytiharkan krisis opioid atau ubat tahan sakit di Amerika Syarikat sebagai “kecemasan nasional”, katanya pada Rabu.
“Kami akan ada mesyuarat besar tentang opiod esok,” kata Trump kepada wartawan di White House.
“Kami akan buat mesyuarat penting tak lama lagi tentang opiod dengan mengisytiharkannya sebagai kecemasan nasional, yang memberikan kami kuasa untuk buat perkara yang kami tak boleh buat sekarang,” katanya.
Ogos lalu, Trump berkata yang dia percaya krisis opiod adalah krisis nasional tetapi masih belum mengeluarkan deklarasi rasmi.
Sebuah suruhanjaya ditubuhkan Trump untuk menyiasat penagihan dan salah guna dadah jenis itu mengeluarkan “cadangan kecemasan” awal tahun ini meminta presiden mengisytiharkan kecemasan nasional di bawah Akta Perkhidmatan Kesihatan Awam atau Akta Stafford.
“Deklarasi anda akan memberi kuasa kepada Kabinet untuk bertindak dan memaksa Kongres memberi tumpuan kepada pembiayaan dan memperkasakan cabang Eksekutif untuk terus menangani kehilangan nyawa,” kata suruhanjaya itu.
Akta Stafford memberikan kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk memberi bantuan kepada kerajaan negeri menangani bencana atau kecemasan besar.
Akta Perkhidmatan Kesihatan Awam itu memberi kuasa kepada Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia untuk bertindak dalam kecemasan kesihatan awam.
Menurut suruhanjaya itu, 142 orang terbunuh setiap hari kerana penyalahgunaan dadah dan ubat tahan sakit pada 2015- lebih tinggi daripada gabungan kematian dalam kemalangan jalan raya dan jenayah tembakan.
Dua per tiga daripada kematian disebabkan salah guna dadah pada 2015 dikaitkan dengan opiod atau ubat tahan sakit seperti Percocet, OxyContin, heroin dan fentanyl, kata suruhanjaya itu lagi.
Ubat tahan sakit yang diberikan pengamal perubatan bertauliah dan heroin menyumbang kepada lebih 600,000 kes kematian disebabkan dadah di AS pada 2016, meningkat 19% berbanding tahun sebelumnya menurut anggaran dikeluarkan Now York Times. – AFP, 26 Oktober, 2017.
Komen