SELEPAS sebulan perbincangan dan pertemuan dengan pihak berkepentingan, rang undang-undang (RUU) mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) bersedia untuk dibentangkan semula, kata sumber kerajaan.
“Sebanyak 35 cadangan dibuat dan laporan itu diserahkan kepada kerajaan,” kata satu sumber yang biasa dengan status rang undang-undang itu.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang IPCMC sudah bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk polis, dan mengambil input mereka,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Justeru, kini terpulang kepada kerajaan sama ada untuk memasukkan cadangan yang dibuat, katanya.
RUU itu dijangka dibentangkan semula semasa persidangan Dewan Rakyat yang berakhir pada 5 Disember.
Antara pertikaian utama daripada pihak polis ialah ketiadaan wakil polis dalam suruhanjaya 10 anggota itu.
“Mereka mahu suruhanjaya itu memasukkan seseorang yang dicalonkan oleh polis. Tetapi kita tidak nampak keperluan kerana polis boleh diwakilkan dalam pelbagai jawatankuasa siasatan.
“Oleh itu, kami tidak memasukkannya,” katanya.
Dewan Rakyat pada 7 Oktober memutuskan untuk merujuk RUU IPCMC kepada jawatankuasa pilihan selepas ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak mengadu mereka tidak diperuntukkan masa mencukupi untuk membahaskan RUU itu.
Ini susulan langkah kerajaan membuat 24 perubahan kepada RUU sebelum ia dibawa ke peringkat jawatankuasa.
“Undang-undang ini melibatkan pihak polis dan kepentingan awam. Dan sepatutnya lebih banyak masa diberi untuk membahaskan RUU sebelum ia diluluskan,” kata Ketua Pembangkang Ismail Sabri (Bera-BN) semasa perbahasan bulan lalu.
RUU IPCMC pada asalnya dirangka oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk memperbaiki pasukan polis pada 2005. Bagaimanapun, ia tidak diterima oleh kerajaan sebelumnya.
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) memperkenalkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
IPCMC diperkenalkan semula selepas Pakatan Harapan mengalahkan BN pada pilihan raya umum lalu.
Antara kebimbangan pihak polis yang lain mengenai RUU itu adalah pihak berkuasa IPCMC bukan hanya menerima aduan dan menyiasatnya, tetapi juga menjatuhkan hukuman.
Aktivis masyarakat sivil bagaimanapun berusaha keras agar suruhanjaya itu diinstitusikan selepas beberapa dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk kematian dalam tahanan polis, dan ketiadaan akauntabiliti terhadap beberapa kes seperti kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat.
Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang IPCMC diketuai oleh Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) termasuk Rusnah Aluai (Tangga Batu-PH), Su Keong Siong (Kampar-PH), Larry Sng (Julau-PH), Wilfred Madius Tangau Tuaran-Upko), Azalina Othman Said (Pengerang-BN) dan Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-GPS). – 27 November, 2019.
Komen