Tak perlu tender terbuka bekal baja, kata Anwar


SM Amin

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata pertubuhan tersebut perlu dibantu kerana ia organisasi nasional untuk membela pekebun kecil.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 26 November, 2019.

PROJEK pembekalan input pertanian sektor padi perlu disalurkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melalui rundingan terus seperti amalan sebelum ini, kata Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu berkata pertubuhan tersebut, seperti juga Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) perlu dibantu kerana ia organisasi nasional untuk membela pekebun kecil dan nelayan miskin.

Katanya, beliau bertanggungjawab menubuhkan badan berkenaan sewaktu permulaan kerjaya politiknya dan mahu bantuan itu diteruskan.

“Saya yang tubuhkan Nafas dan Nekmat untuk pastikan pekebun mempunyai pertubuhan yang rasmi untuk mewakili mereka di peringkat nasional. Kita jaga kebajikan mereka kerana mereka ini miskin.

“Ini bermakna tidak perlu buat tender terbuka sejak awal lagi. Di sinilah isu teknikalnya,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Anwar juga mengakui Nafas tidak mempunyai kemampuan sepenuhnya untuk membekalkan baja kepada pekebun dan terpaksa mengimport bekalan dari luar.

Namun begitu kata Anwar, harga yang ditawarkan oleh Nafas perlulah kompetitif supaya keuntungan yang diperolehi dapat disalurkan semula kepada pekebun kecil yang miskin.

“Isu baja yang mereka perlu import tetapi harga mesti kompetitif. Siapa lagi yang hendak pastikan keuntungan yang dijana dikembalikan kepada pekebun kecil.

“Rasional untuk mereka menguruskan dengan efisyen badan pertubuhan itu adalah untuk memberikan manfaat kepada pekebun-pekebun kecil yang miskin,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan buku Islam & Confucianism di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.

Rundingan kontrak secara terus kepada Nafas untuk membekal input tani itu menjadi perhatian apabila ia dibuka secara tender terbuka dan kemudiannya dibatalkan atas permintaan menteri.

Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mempersoalkan tindakan memberi kontrak RM1.4 bilion itu secara rundingan terus selepas Nafas tewas dalam persaingan tender terbuka.

Pemimpin MCA itu turut membangkitkan janji PH untuk menganugerahkan semua projek secara tender terbuka. – 26 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen