STARBUCKS menjangkakan India akan menjadi antara lima pasaran utamanya selepas rangkaian kedai kopi Amerika Syarikat (AS) itu mahu berkembang ke bandar-bandar di India.
Tata Starbucks Private Limited, sebuah syarikat usaha sama 50-50 antara Tata Global Beverages, India dan Starbucks, mempunyai 100 cawangan di India pada masa sekarang.
“Starbucks memiliki sejumlah 28,000 cawangan merentasi 75 pasaran di seluruh dunia dan India merupakan antara pasaran penting yang mempunyai operasi kami. Satu hari nanti, India akan menjadi antara lima pasaran utama Starbucks,” kata Presiden Kumpulan Starbucks International, John Culver di Mumbai semalam.
AS merupakan pasaran terbesar bagi syarikat itu, diikuti oleh Kanada, China, Jepun dan Britain.
Syarikat tersebut, yang memasuki India pada Oktober 2012 dengan sebuah kedai di Mumbai, sekarang ini mempunyai cawangan di enam bandar lain dan merancang untuk membuka tiga lagi kedai di Kolkata pada awal 2018.
Starbucks menjangkakan jumlah pekerjanya di India akan berganda kepada 3,000 orang dalam tempoh lima tahun, sejajar dengan rancangan pengembangan syarikat. – Bernama, 25 Oktober, 2017.
Komen