PEJABAT pusat khidmat Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir diserang oleh individu tertentu yang menyimbah cat merah dan meninggalkan satu bangkai ayam di hadapan premis tersebut.
Akmal yang juga ketua pergerakan Pemuda PKR berkata kakitangannya turut menemui satu nota mengandungi mesej ugutan bersama bangkai berkenaan ketika tiba di pejabatnya pagi ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kandungan nota ugutan yang ditinggalkan bersama bangkai berkenaan di pejabatnya di Taman Larkin, Johor Bahru.
“Saya telah dimaklumkan oleh staf saya yang tiba jam 7.20 pagi untuk masuk ke pejabat bahawa pintu masuk Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Johor Bahru telah disimbah cat.
“Saya sudah serahkan kepada polis. Satu laporan polis telahpun dibuat staf saya dan saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya lagi.
Pejabat tersebut terletak di Taman Larkin, Johor Bahru bersebelahan dengan stadium Larkin.
Kes itu timbul ketika beliau berdepan pergeseran besar dalam pergerakan itu berhubung isu perasmian kongres sayap parti PKR berkenaan bulan depan.
Kumpulan yang setia kepada timbalannya, Hilman Idham berkeras agar kongres pemuda itu dirasmikan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
AMK yang dipimpinnya pula memutuskan agar kongres 6 Disember itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 26 November, 2019.
Komen