Tentera Iraq edar risalah desak jauhi pengganas


Tentera Iraq menjatuhkan risalah di barat sempadan wilayah al-Qaim dan Rawa, yang meminta penduduk menjauhkan diri daripada pengganas Daesh. – Gambar fail AFP, 25 Oktober, 2017.

MENDAHULUI operasi ketenteraan, tentera Iraq, pada awal Rabu menjatuhkan risalah di barat sempadan wilayah al-Qaim dan Rawa, yang meminta penduduk menjauhkan diri daripada pengganas Daesh, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

Sumber keselamatan memaklumkan wartawan Petra di Baghdad bahawa sejak beberapa jam yang lalu, jet-jet pejuang Iraq menjatuhkan beribu-ribu risalah di kedua-dua bandar yang memuatkan beberapa pesanan meminta penduduk menjauhi lokasi pengganas Daesh.

Pesanan itu turut memuatkan amaran kepada geng pejuang dan meminta mereka menghentikan pertempuran serta menyerah diri kepada tentera Iraq dan berdepan perbicaraan yang adil, katanya.

Persediaan dan pelan untuk membebaskan kedua-dua bandar sudah selesai, kata sumber itu, sambil menambah pasukan tentera kini menunggu arahan serta pengumuman daripada pegawai pemerintah bersama untuk memulakan operasi. – Bernama, 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen