Malaysia bangkitkan krisis kemanusiaan Rohingya di Filipina


Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein membangkitkan kebimbangan Malaysia berhubung krisis kemanusiaan Rohingya pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean ke-11 (ADMM) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Clark, Pampanga, Filipina. – Gambar AFP, 25 Oktober, 2017.

MENTERI Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata beliau membangkitkan kebimbangan Malaysia berhubung krisis kemanusiaan Rohingya yang sedang berlaku di Bangladesh pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean ke-11 (ADMM) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Clark, Pampanga, Filipina.

Beliau menggambarkan situasi itu sebagai “antara krisis kemanusiaan terbesar di rantau kita”.

“Kita dalam Asean tidak boleh mengetepikan situasi ini kerana Rohingya dan semua komuniti yang terjejas adalah sasaran yang sangat terdedah, sangat mudah untuk diradikalkan oleh kumpulan pengganas di rantau ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan pada penghujung lawatan kerja empat hari beliau di Clark bagi menghadiri ADMM, platform tahunan menteri-menteri pertahanan Asean untuk membincangkan keselamatan dan pertahanan serantau kepentingan bersama.

Beliau juga memberi peringatan tentang hasrat kumpulan pengganas Daesh berhubung imigran.

“Kita jangan sekali-kali beri talian hayat kepada Daesh merekrut pengganas baharu memandangkan kumpulan itu mungkin sedang berkira-kira untuk memperlengkap pelarian dan populasi imigran lain dengan senjata,” katanya.

ADMM ke-11 dipengerusikan oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Negrillo Lorenzana. – Bernama, 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen