Rayuan Tommy Thomas batalkan prosiding komital didengar 12 Disember


Bede Hong

Peguam ayah Muhammad Adib Mohd Kassim, Aidil Khalid berkata tiada masalah dengan keputusan itu kerana merit rayuan belum ditentukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 November, 2019.

RAYUAN Peguam Negara Tommy Thomas untuk membatalkan prosiding komital berkaitan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Disember ini.

Thomas memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah koroner yang sebelum ini membenarkan prosiding komital terhadapnya yang didakwa menghina mahkamah, dibuat ayah Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid.

Pesuruhjaya Kehakiman Meor Hashimi pagi ini juga menolak permohonan Kassim untuk membatalkan rayuan Thomas.

Beliau mengarahkan kedua-dua pihak menghantar hujah bertulis mereka pada 9 Disember ini.

Kassim memfailkan prosiding arahan komital terhadap Thomas pada 17 Julai lalu kerana mendakwa peguam negara menghina mahkamah apabila mengarahkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengugurkan Syazlin Mansor selaku peguam mewakili kementerian dalam inkues kematian Adib.

“Kami tak anggap ia halangan kerana satu-satunya isu adalah sama ada peguam negara dibenarkan membuat rayuan pada peringkat ini,” kata peguam Kassim, Aidil Khalid.

“Dalam mana-mana keadaan, mahkamah masih perlu mendengar hujah rayuan pada 12 Disember ini. Sama ada rayuan itu ada merit atau tidak masih belum diputuskan.”

Peguam Zainur Zakaria dan Ambiga Sreenivasan mewakili Thomas. Zainur hadir di mahkamah hari ini.

Adib, 24, meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara pada 17 Disember 2018.

Beliau dimasukkan ke hospital selepas cedera parah dalam kejadian rusuhan kuil di Seafield, Subang Jaya, Selangor. Kematian itu menyebabkan inkues dijalankan kerana polis tidak dapat membuat kesimpulan siasatan kes.

Susulan inkues, Hakim Mahkamah Koroner Shah Alam Rofiah Mohamad membuat penghakiman pada 27 September yang kematian Adib berpunca daripada kecederaan disebabkan oleh lebih dua penyerang tidak dapat dikenal pasti ketika bertugas pada rusuhan itu. – 25 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen