DONG Zong dan kumpulan pendidikan Cina lain berkata satu memo akan dihantar kepada Kementerian Pendidikan untuk menuntut supaya lembaga sekolah dibenarkan membuat keputusan dalam isu pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah vernakular, lapor media.
Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata mereka tidak berpuas hati apabila lembaga sekolah tidak tersenarai sebagai pembuat keputusan dalam pengajaran Jawi di sekolah vernakular tahun depan, walaupun sudah lima pertemuan diadakan dengan kementerian.
Selepas cadangan pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular mendapat bantahan, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menjadikan pengajaran tulisan Jawi kepada pelajar Tahun 4 sekolah vernakular sebagai pilihan dan hanya dengan izin Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid.
Bagaimanapun, lembaga sekolah vernakular tidak disenaraikan sebagai pembuat keputusan.
“Mesyuarat kami adalah untuk menegaskan kembali pendirian kami,” kata Tan dipetik berkata oleh laporan media hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan kumpulan pendidikan Cina di Kajang semalam.
Menurutnya, sejak Julai kumpulan pendidikan Cina mengadakan lima pertemuan dengan dengan Kementerian Pendidikan tetapi masih belum menerima maklum balas.
Sejak Dong Zong menyuarakan bantahan pada Ogos lalu, kementerian berkata hanya pengenalan tulisan Jawi akan diajar di sekolah vernakular, dan dengan keizinan PIBG sekolah.
“Dalam perbincangan terkini, Jemaah Menteri telah membuat keputusan Jemaah Menteri pada minggu lalu supaya mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan Jawi ini diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa,” menurut kenyatan Kementerian Pendidikan pada Ogos. – 25 November, 2019.
Komen