Pemilik asal mahu beli semula tanah adat dibeli kerajaan negeri Sarawak


Desmond Davidson

Pengerusi DAP Serian Edward Andrew Luwak menunjukkan tapak projek pembangunan sekolah menengah yang ditangguhkan atas masalah kesesuaian tanah. – Gambar The Malaysian Insight, 27 November, 2019.

RAMAI pemilik tanah adat di Serian, Sarawak berharap kerajaan negeri dapat menjual semula tanah yang dibeli dari mereka untuk projek pembangunan sekolah lebih sepuluh tahun lalu.

Pemilik asal itu kini mahu membeli semula tanah mereka selepas projek berkenaan ditangguhkan atas masalah kesesuaian tanah.

Walaupun langkah itu mungkin sukar kerana semua pemilik telah diberi pampasan oleh kerajaan negeri, tetapi peguam mereka percaya ada cara untuk mendapatkan semula tanah tersebut.

“Ia tak boleh dilakukan (jual tanah semula kepada pemilik asal) sebaik sahaja pampasan dibayar penuh,” kata peguam Francis Teron kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, ia ada pengecualian jika kerajaan meletakkan tanah tersebut di bawah Seksyen 47 Kanun Tanah Sarawak.

Kebiasaannya kerajaan negeri mengguna pakai Seksyen 47 untuk menggunakan tanah bagi projek yang belum diputuskan di masa depan, dan bayaran pampasan belum dibuat.

Selepas itu barulah pemilik asal tanah memfailkan permohonan untuk membatalkan Seksyen 47 sekiranya projek yang dicadangkan itu gagal atau tanah terbiar begitu lama.

Dalam kes ini, projek pembangunan sekolah yang dicadangkan itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 tetapi hanya diputuskan pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin berkata projek pembangunan sekolah menengah di tapak itu ditangguhkan selepas tanah itu didapati tidak sesuai.

Menurut Manyin, terdapat aliran air bawah tanah di tapak tersebut, yang akan menjejaskan asas binaan bangunan sekolah.

Pemilik asal berkata oleh kerana bangunan sekolah tidak jadi dibina maka mereka mahu membeli semula tanah tersebut.

“Bagaimana tanah tersebut boleh dipulangkan semula kepada pemilik asal, saya percaya ada prosedur yang boleh diikuti,” kata Manyin kepada The Malaysian Insight.

“40 ekar daripada anah Hak Adat Bumiputera (NCR) sudah digunakan dengan sebaiknya dan diberi pampasan tetapi oleh kerana terdapat aliran air bawah tanah di tanah tersebut, jabatan pendidikan negeri dinasihatkan supaya mencari tapak lain.

“Kerajaan mendapatkan tanah tersebut menerusi prosedur yang betul. Pemilik sudahpun dibayar pampasan penuh mengikut harga semasa.” 

Sementara itu, Pengerusi DAP Serian Edward Andrew Luwak berkata walaupun daerah itu memerlukan sebuah lagi sekolah menengah, tetapi jika tapak tanah itu tidak akan digunakan untuk membangunkan sekolah maka ia harus dipulangkan semula kepada pemilik asal.

“Mereka tentu gembira mendapat semula tanah mereka. Tanah itu adalah aset tidak ternilai bagi mereka.

“Mereka pasti akan menentang jika ada usaha untuk menggunakan tanah itu bagi tujuan lain,” kata Luwak. – 27 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen