Wanita suspek Daesh pulang ke Jerman


Menurut majalah itu, Laura mengembara pada 2016 dari Giessen di Jerman tengah ke Syria bersama anak-anak dan suaminya, yang merupakan seorang warga Amerika Syarikat yang dilahirkan di Somalia. – Gambar EPA, 24 November, 2019.

SEORANG suspek wanita yang menganggotai Daesh dan tiga anaknya selamat tiba di negara asalnya, Jerman, kata polis kepada AFP pada Ahad.

Wanita itu adalah ahli Daesh wanita dewasa pertama yang pulang menggunakan saluran rasmi ke Jerman dari Syria.

Suspek yang dikenali sebagai Laura H, 30, dari Hesse tiba di lapangan terbang Frankfurt pada Sabtu dari Erbil, Iraq.

Walaupun Laura H. tidak ditahan sebaik ketibaannya, dia tetap menjadi subjek siasatan kerana disyaki menganggotai organisasi pengganas serta gagal menjaga anak-anaknya dengan baik, kata majalah mingguan Der Spiegel yang menyebut sumber pihak keselamatan.

Pasportnya telah dirampas dan dia dilarang meninggalkan negara ini, manakala anak-anaknya diamanahkan kepada keluarga rapat, kata Spiegel.

Menurut majalah itu, Laura mengembara pada 2016 dari Giessen di Jerman tengah ke Syria bersama anak-anak dan suaminya, yang merupakan seorang warga Amerika Syarikat yang dilahirkan di Somalia.

Dia juga dikaitkan dengan aliran Salafi di Jerman dan didakwa membuat hantaran atas talian menyeru sumbangan bantuan disalurkan ke Syria.

Berikutan pembunuhan suaminya dan penangkapan oleh pasukan keselamatan Kurdi, Laura H. mendakwa dia telah meninggalkan ideologi Daesh. – AFP, 24 November, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen