VETERAN PKR Syed Husin Ali menggesa Dr Mahathir Mohamad menepati janjinya menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim sebelum 9 Mei tahun depan.
Jelasnya, pengerusi PH itu perlu berundur dengan ikhlas supaya peralihan kuasa berlaku dengan lancar, sebelum tarikh ulangtahun kedua parti itu merampas Putrajaya.
Beliau berkata demikian dengan membangkitkan semula persetujuan Dr Mahathir untuk memimpin negara selama dua tahun sahaja sementara menunggu Anwar dibebaskan dari tahanan pada 2018.
“Mahathir sendiri kata dua tahun (tempoh untuk menjadi perdana menteri). Persetujuan empat parti ialah selepas Anwar diampunkan,” kata bekas timbalan presiden PKR itu lagi.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga tidak lagi patut menjadi perdana menteri kerana dilihatnya semakin tersasar daripada perjuangan reformasi.
Malah Dr Mahathir juga tidak melakukan banyak pembaharuan selepas PH memenangi Putrajaya tahun lalu.

“Memang sudah tidak sesuai, kita harus lihat apa dia buat lepas jadi PM. Apa saya lihat beliau tidak jalankan dasar reformasi dan tak berikan keuntungan pada rakyat.
“Beliau tak beri perubahan yang dikehendaki, jadi beliau harus berundur,” katanya dalam sesi soal jawab semasa Kongres Reformis V2.0 di Shah Alam.
Soal jawab bertajuk ‘Peralihan Kuasa Menyempurnakan Misi Reformasi: Mimpi atau Realiti?’ itu disaksikan ratusan penyokong PKR dari seluruh negara yang berhimpun dalam kongres itu.
Syed Husin seterusnya mengecam tindakan Dr Mahathir yang menurutnya berdolak-dalik dalam isu peralihan kuasa.
“Kalau Dr Wan Azizah boleh menghormati janji pada malam pilihan raya beri (jawatan PM kepada) Dr Mahathir, Dr Mahathir juga perlu begitu.
“Anwar ikhlas mengharapkan Dr Mahathir akan berundur secara ikhlas. Saya mengharapkan bahawa ada persefahaman bila peralihan kuasa berlaku,” katanya lagi.

Isu peralihan kuasa itu kini menjadi duri dalam daging dalam PH, dan kembali dibangkitkan selepas gabungan parti itu kalah teruk dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada minggu lalu.
Pemimpin PH termasuk kenyataan setiausaha agung parti, Saifuddin Abdullah beberapa kali menjelaskan perjanjian peralihan itu tidak menetapkan tempoh yang rasmi.
Anwar dan Dr Mahathir juga beberapa kali menegaskan peralihan kuasa itu akan berlaku, termasuk penegasan yang terbaru selepas kedua-duanya bertemu semalam.
Dr Mahathir pernah membayangkan beliau hanya akan menjadi perdana menteri untuk tempoh tiga tahun sahaja, sementara menyelesaikan masalah dihadapi negara. – 24 November, 2019.
Komen