Korea Selatan uji sistem penghantaran guna dron dalam bandar


Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan berkata ia menggunakan sebuah dron ujian untuk menghantar satu bungkusan dari pejabat pos yang terletak di kompleks kerajaan Sejong ke sebuah lot kosong. – Gambar AFP, 25 Oktober, 2017.

KERAJAAN Korea Selatan pada Rabu menggunakan sebuah dron untuk menghantar bungkusan di bandar pentadbiran Sejong bagi menguji keselamatan dan prestasinya dalam persekitaran bandar yang sibuk, lapor agensi berita Yonhap.

Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan berkata ia menggunakan sebuah dron ujian untuk menghantar satu bungkusan dari pejabat pos yang terletak di kompleks kerajaan Sejong ke sebuah lot kosong.

“Kami telah menjalankan ujian untuk melihat keupayaan penyampaian dron dan potensi sistem penyampaian tanpa pemandu di kawasan bandar,” kata kementerian itu.

Ujian itu dilakukan susulan demonstrasi terdahulu dron di pulau-pulau terpencil dalam wilayah Jeolla dan kawasan pergunungan dalam wilayah Gangwon.

Kementerian itu berkata ia merancang untuk bekerjasama dengan Pos Korea bagi menghantar surat dan bungkusan sebenar di kawasan pedalaman yang terpencil  selama seminggu pada November untuk melihat prestasinya dalam dunia sebenar.

“Berdasarkan ujian itu, kami akan berusaha untuk mengkomersialkan sistem penyampaian dron di pulau-pulau terpencil dan kawasan pergunungan terlebih dahulu serta memperluas perkhidmatan itu ke kawasan bandar,” kata kementerian itu.

Kerajaan dan syarikat tempatan telah meningkatkan usaha untuk mengguna dan mengkomersialkan dron dalam pelbagai aplikasi, termasuk logistik dan misi mencari, bagi merebut sebahagian besar daripada industri yang berpotensi itu.

Untuk membantu merealisasikan sistem penyampaian dron, pakar berkata penggubal undang-undang dan syarikat-syarikat hendaklah mengusahakan satu sistem kawalan trafik udara untuk pesawat tanpa pemandu bagi membantu praperancangan laluan, mengelak pertembungan serta memastikan keselamatan relatif kepada pejalan kaki.

Syarikat-syarikat global seperti gergasi jualan runcit Amazon telah menguji penyampaian dron bagi mewujudkan satu sistem yang mampu mempercepat tempoh penyampaian dan membawa penghantaran hampir segera ke pasaran. – Bernama, 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen