Timbalan presiden rasmi kongres bukan tradisi, kata AMK


Mastura Malak

Akmal bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK hari ini – yang terakhir sebelum kongresnya diadakan pada 6 Disember. – Gambar The Malaysian Insight, 24 November, 2019.

AMK tidak perlu mengikut kelaziman untuk menjemput timbalan presiden parti merasmikan kongres sayap itu, tegas ketua pergerakan tersebut Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Menurutnya ia bukan tradisi kerana jemputan berkenaan tidak terikat kepada mana-mana jawatan dan sebaliknya perlu mengutamakan tujuan kongres untuk menyuarakan pandangan sayap.

“Tidak timbul isu tradisi pun, isu itu ialah kelaziman dan dalam keadaan sekarang sokongan rakyat perlu diberikan penekanan serius, maksudnya untuk suarakan isu anak muda.

“Mungkin dilihat berbeza pada kali ini, tapi ini bukan kali pertama,” katanya yang menambah perasmi tersebut tidak tidak terikat dengan mana-mana jawatan mahupun individu.

Akmal bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK hari ini – yang terakhir sebelum kongresnya diadakan pada 6 Disember.

Mesyuarat itu dilangsungkan di sebalik latar pertelagahan dengan kem pimpinan Timbalan Ketua AMK Hilman yang tidak kunjung padam.

Ia berlarutan sejak sejak pemilihan parti tahun lalu yang menyaksikan parti terbelah antara mempertahankan Azmin atau mengangkat Rafizi Ramli sebagai timbalan presiden parti.

Kem Hilman juga kini giat berkempen agar AMK menjemput Azmin untuk merasmikan kongres pergerakan itu.

Seramai 21 daripada 25 pimpinan AMK tersebut membantah tindakan meminggirkan Azmin daripada upacara perasmian tersebut.

Mengulas lanjut, Akmal seterusnya mengaitkan pilihan AMK agar bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail dijemput merasmikan kongres itu dengan sokongan sayap kepada kerajaan.

“Kali ini bukannya soal kenapa kali ini berubah, maksudnya perbincangan di peringkat majlis pimpinan kita nak pastikan agenda anak muda ini diangkat lebih jauh,” katanya.

Tambahnya, ia dijalankan “dengan hasrat menunjukkan PRK merupakan gabungan terkuat dalam PH dan beri komitmen kepada kerajaan untuk mentadbir negara.”

Kongres Nasional AMK dengan tema Reformasi Dua Dekad, Mengisi Kemenangan Rakyat akan berlangsung di Melaka International Trade Centre. – 24 November, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen