PENERIMA anugerah Nobel Keamanan Tawakkul Karman semalam mengemukakan cadangan agar satu tribunal global ditubuhkan untuk mendakwa eksekutif firma multinasional yang merosakkan bumi.
Karman, yang berasal daripada Yaman, mengemukakan cadangan tersebut di Honduras di mana Amnesty International melaporkan tahun lalu—bersama jirannya Guatemala—sebagai yang paling berbahaya di dunia untuk alam sekitar.
“Mahkamah dunia perlu diwujudkan supaya boleh menghukum semua syarikat multinasional ini yang merosakkan alam sekitar dan menyumbang kepada perubahan iklim,” kata Karman menerusi penterjemah.
Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama Shirin Ebadi dari Iran, seorang lagi pemenang anugerah Nobel yang memenangi anugerah keamanan pada 2003.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif wanita Nobel, mereka mahu “mengumpul laporan pertama tentang keganasan terhadap penjaga tanah wanita” di Honduras dan Guatemala, di mana mereka akan ke sana kemudian, menurut laman sesawang kumpulan itu.
Pembunuhan Berta Caceres, 45, yang ditembak mati tahun lalu, menyerlahkan ancaman kepada aktivis Honduras dan mencetuskan kemarahan antarabangsa.
Caceres menentang rancangan oleh syarikat Desarollos Energeticos untuk membina sebuah empangan hidroelektrik merentasi sebuah sungai yang menjadi tempat bergantung masyarakat pribumi.
Rachel Vincent, penyokong dan pengarah media bagi inisiatif wanita Nobel berkata, Honduras mempunyai kadar pembunuhan tertinggi bagi pejuang hak asasi manusia dan penjaga tanah.
Sejak 2009, seramai 123 aktivis telah dibunuh, katanya.
Dalam komen kepada AFP, Karman berkata satu mahkamah antarabangsa khas diperlukan “untuk memerangi rasuah dan penggubahan wang haram serta terhadap semua yang terlibat dalam memusnahkan alam sekitar dan mengeksploitasi iklim dengan cara yang merosakkan.”
Beliau berkata tribunal tersebut boleh disamakan seperti Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpangkalan di The Hague yang menyiasat dan menghakimi mereka yang disabitkan dengan pembasmian kaum, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Karman berkata mahkamah yang dicadangkannya akan mengendalikan kes-kes di mana aktivis hak asasi manusia dan alam sekitar atau pejuang anti-rasuah “dijumpai mati.”
Dia juga berkata penyiasatan pembunuhan Caceres haruslah secara mendalam “untuk membongkar semua yang mendapat manfaat daripada jenayah ini.”
Lapan orang telah ditahan, antaranya adalah seorang pekerja Desarrollos Energeticos.
Penerima anugerah Nobel tersebut telah bertemu Austra Berta Flores, ibu kepada Caceres, Sabtu lalu.
Di Guatemala, mereka akan menyertai dua lagi penerima Anugerah Nobel Keamanan, Rigoberta Menchu dari Guatemala dan Jody Williams dari Amerika Syarikat. – 25 Oktober, 2017.
Komen