Syarikat gergasi tembakau mahu pengguna beralih ke rokok elektronik


Mastura Malak

Syarikat tembakau antarabangsa Philip Morris mahu pengguna beralih kepada alternatif lain bagi mengekang tabiat merokok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 November, 2019.

SYARIKAT gergasi produk tembakau Philip Morris Malaysia mahu penggunanya berubah kepada rokok elektronik jika tidak mampu menghentikan tabiat itu.

Firma itu menggesa demikian melalui kempen pameran fotografi berjudul “Dunia Anda Bebas Asap” yang dilancarkan minggu ini di Kuala Lumpur.

Mantera utamanya dalam kempen itu: “Jika tidak merokok jangan mulakan, jika merokok berhenti, jika tidak boleh berhenti merokok maka ubah.”

Ketua Komunikasi Korporat Philip Morris Malaysia Veronica Choo ia adalah sebahagian daripada kempen global syarikat gergasi itu untuk memupuk pengguna beralih kepada alternatif.

“Sehingga kini, syarikat sudah membelanjakan AS$ 6bilion (RM25 bilion) untuk penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan alternatif kepada perokok.

“Lebih 400 saintis dan doktor bekerja keras di ibu pejabat menempatkan R&D untuk berusaha melaksanakan transformasi selain peneraju teknologi bebas asap rokok abad ke- 21.

“Pilihan terbaik kepada perokok tentulah kena berhenti pengambilan tembakau dan nikotin sekali gus atau jika tidak carilah alternatif kurang mudarat,” katanya.

Jumlah lebih RM25 bilion yang disebut itu adalah untuk Philip Morris membangunkan alat elektronik untuk menikmati tembakau tanpa melibatkan pembakaran seperti rokok.

Alat digelar IQOS itu bagi menguasai pasaran bagi rokok elektronik dan vape, yang kini sedang dikaji untuk diharamkan sepenuhnya di Malaysia.

Pameran fotografi Dunia Anda Bebas Asap menampilkan karya tiga orang jurugambar Malaysia – SC Shekar, David Lok dan Nadirah Zakaria. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 November, 2019.

Penggunaan produk nikotin melalui alat elektronik itu masih tidak terkawal dan kerajaan mengumumkan sedang menggubal Akta Tembakau untuk menanganinya secara menyeluruh.

Setakat ini produk nikotin daripada tembakau dikawal bawah Akta Racun 1952 jualannya diselia bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984).

Ia memberi kuasa kepada pihak berkuasa merampas produk mengandungi nikotin termasuklah cecair rokok elektronik yang tidak berdaftar dengan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

Pertubuhan Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia menganggarkan seramai 5,000 usahawan tempatan kini telibat dalam perniagaan rokok elektronik dan vape.

Pameran fotografi Dunia Anda Bebas Asap menampilkan karya tiga orang jurugambar Malaysia – SC Shekar, David Lok dan Nadirah Zakaria.

Imej yang dipamerkan antara lain memaparkan imej kehidupan yang indah dan udara bersih tanpa asap rokok. – 24 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen