PUJIAN Anwar Ibrahim terhadap Joshua Jabeng, bekas pembantu kanan Baru Bian, di Konvensyen PKR Sarawak hari ini membuat akar umbi parti itu hairan.
Anwar dilihat memuji nilai-nilai yang dipegang ketua PKR Selangau tersebut ketika berucap.
Joshua yang merupakan seorang bekas pastor, guru, dan penasihat kewangan serta insuran yang kemudian aktif sebagai ahli politik semalam dituduh oleh 16 pemimpin cabang Selangau bahawa kerenggangan hubungannya dengan Baru adalah berpunca daripada sikap (Jabeng) yang menyalahkan Baru kerana tidak melantik beliau di “mana-mana jawatan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC)” sejak Pakatan Harapan menjadi kerajaan persekutuan.
Anwar dalam ucapannya berkata para pemimpin PKR tidak harus mengulangi apa yang dilakukan pemimpin BN, “mencuri, merompak, mengamalkan kronisme dan menjadi sombong selepas mereka dipilih”.
Pemimpin PKR Selangau, Kakus dan Tamin dalam satu kenyataan menjarakkan diri mereka daripada Jabeng dan menjelaskan punca kenapa ketua cabang mereka kini “secara aktif memperkecilkan kepimpinan Baru”, mereka turut mendakwa bahawa Jabeng “beberapa kali” memberitahu mereka tentang kekecewaan beliau kerana tidak dilantik apa-apa jawatan.
Mereka juga berkata rungutan Jabeng itu juga turut didorong oleh persepsi bahawa beliaulah yang bertanggungjawab “menaikkan” Baru sebagai ahli Parlimen Selangau, “namun sebaliknya dia tidak diberi ganjaran setimpal.”
Mereka turut mengatakan Jabeng kini “membuat kerja sendirian” dan para pimpinan PKR tersebut menjelaskan tingkah laku beliau tidak disokong oleh cabang parti di negeri itu.
Jabeng yang tidak mempunyai sokongan parti di negeri itu, pernah bertanding pada Pilihan Raya Sarawak 2016 di Kakus - salah satu daripada dua kerusi DUN di Parlimen Selangau - didedahkan kepada umum pada hari Selasa apabila dia mendakwa dalam satu kenyataan yang dihantar kepada media tempatan bahawa 18 dari 30 pemimpin cabang parti itu di Sarawak berikrar untuk menggantikan Baru sebagai pengerusi PKR Sarawak.
Namun, sebaliknya para pemimpin akar umbi Selangau kini mendesak Jabeng meminta maaf kepada ahli-ahli parti kerana melaksanakan “tindakan yang salah tersebut”.
Mereka secara terbuka mengatakan Jabeng memperkecilkan kepimpinan PKR Sarawak dan melanggar “kepercayaan anggota akar umbi di cabang parti”.
Mereka turut memberi amaran untuk melaporkan beliau ke lembaga disiplin parti itu jika gagal memohon maaf. – 23 November, 2019.
Komen