MASALAH dana Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kolej Utar) tiada penyelesaian kerana MCA dan DAP menjadikannya isu politik, kata pemerhati.
Dr Yoong Suan dari Persatuan Guru-guru Sekolah Cina berkata masalah itu menemui jalan buntu selepas kedua-dua parti itu mempolitikkannya.
Yoong memberitahu The Malaysian Insight, walaupun MCA menegaskan ia tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran, tetapi ahli parti itu sering dijemput ke majlis institusi penganjian tinggi itu.
“Walaupun MCA kata tak campur tangan dalam pentadbiran kolej, tetapi wakil parti selalu ada dalam majlis universiti,” katanya.
“Jadi, ia tak boleh nak kata parti tidak terlibat.”
Perang mulut antara Lim Guan Eng dan MCA akan memberi imej buruk kepada Kolej Utar.
“Kolej ini memberi pendidikan kepada masyarakat Cina. Kalaupun ia dimiliki MCA, ia masih kolej untuk orang Cina.”
Kata Yoong lagi, MCA dan DAP sepatutnya menghentikan perbalahan dan mengutamakan kepentingan orang Cina.
Jika masalah dana tidak dapat diselesaikan, maka Kolej Utar mungkin perlu mengumpul dana melalui crowdfunding.
Semalam, Lim berkata kerajaan akan meluluskan sekurang-kurangnya RM30 juta melalui tabung amanah yang akan diuruskan Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA).
“TAA dicadang menubuhkan badan dana amanah secepat mungkin, dengan pemegang amanah dari wakil TAA, yang terdiri daripada kalangan pelajar dan wakil Kementerian Kewangan.
“Badan amanah itu akan menguruskan dana setiap tahun tanpa penglibatan kerajaan atau mana-mana parti politik, sama ada MCA atau bahkan daripada Pakatan Harapan,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Wang RM30 juta dari tabung amanah itu hanya boleh disalurkan sebaik sahaja MCA melepaskan kawalan ke atas Kolej Utar, tambah beliau.
“RM30 juta untuk 2019 akan dimasukkan kepada dana amanah sebaik sahaja ia ditubuhkan, dan RM30 juta lagi akan dibayar tahun depan.
“Tetapi ia tertakluk kepada syarat bahawa kepimpinan MCA harus melepaskan pemilikan dan kawalan serta kedudukan pentadbirannya dalam lembaga pengarah dan lembaga pengelola Kolej Utar,” kata Lim. – 23 November, 2019.
Komen