Kuala Lumpur perlu ruang untuk seniman bebas berkarya


Amin Iskandar

Kuala Lumpur memerlukan sebuah ruang tetap seperti Taman Ismail Marzuki, Jakarta Indonesia untuk para seniman bebas berkarya tanpa protokol dan hanya dipenuhi aktiviti seni sepanjang tahun melibatkan semua kelompok seni, kata penyair terkenal Pyanhabib Rahman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2017.

MENJELANG pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat, penyair Pyanhabib Rahman mengatakan Kuala Lumpur memerlukan sebuah ruang seni tempat seniman dan aktivis budaya daripada pelbagai bidang berkumpul untuk berkarya atau sekurang-kurangnya bertukar idea.

Katanya, di tempat itu nanti boleh diadakan aktivi kesenian setiap hari sepanjang tahun tanpa terlalu terikat dengan terlalu banyak protokol, seperti di Taman Ismail Marzuki di Jakarta, Indonesia.

“Alangkah seronok jika kita di Kuala Lumpur ini miliki satu tempat khusus untuk aneka kegiatan seni dan sastera budaya,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Menurut Pyanhabib, di kompleks itu nanti “seniman pelbagai bidang dapat berkumpul tanpa protokol, tanpa bush jaket, tanpa air-cond, sebuah kompleks di mana setiap masa setiap hari sepanjang tahun penuh dengan aktiviti tidak kira dari karyawan seniman arus perdana atau indie, tidak kira kanan atau kiri”.

“Sebuah kompleks seni budaya yang alangkah!” tambahnya.

Pyanhabib, 59, atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, sehingga hari ini masih aktif menulis dan terlibat dalam pelbagai kegiatan seni dan budaya, dan sekali-sekala kelihatan dalam aktiviti politik rakyat.

Penyair yang tumbuh matang di Rumah Anak Alam, tempat seniman berhimpun di Kuala Lumpur pada dekad 1970-an dan 1980-an, berkata Pasar Seni atau Central Market pernah jadi tempat seniman berkumpul tetapi tidak lagi sekarang.

Anak Alam ialah kelompok seniman pelukis-penyair yang diasaskan oleh Latiff Mohidin, Mustapha Ibrahim, Yusoff Othman, Zulkifli Dahalan dan Ali Rahamad.

Menurut Pyanhabib, kelompok itu tidak ada pemimpin dan menghuni di sebuah banglo No. 905, Persiaran Tun Ismail, di pinggir Jalan Parlimen, bersebelahan dengan Padang Merbuk.

“Dahulunya sekitar Jalan Tun Ismail dan Pesiaran Tun Ismail ialah Kompleks Budaya Negara. Banglo bernombor 905 itu diberi kepada kelompok Anak Alam untuk beraktiviti sejak 1974. Sebelum itu di Jalan Ampang iaitu sekitar tapak Ilham Galeri sekarang,” cerita Pyanhabib.

Katanya, banglo Anak Alam akhirnya dirobohkan pada penghujung tahun 1988 untuk membina Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

“Kami tidak reti politik, makanya apabila banglo Anak Alam akan diroboh, kami pun bawa diri masing-masing.

“Kalau kami reti politik, barangkali rumah Anak Alam masih wujud,” katanya.

Sehingga hari ini, beliau mudah bergaul dengan semua orang dari segenap lapisan tanpa memilih bulu.

Pada majlis perkahwinan puterinya Julai lalu, hadiri daripada pelbagai golongan hadir, daripada kawan-kawannya yang “kutu” sampai kepada bekas menteri kabinet dan ahli politik yang kini duduk di puncak kuasa.

Pyanhabib susuk yang selalu kelihatan pada majlis seni dan disenangi pelbagai kelompok masyarakat menyifatkan anak muda zaman sekarang penuh idea, rajin beraktiviti dan rajin membaca. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2017.

Pyanhabib terus relevan pada zaman ini kerana seringkali “melayan” undangan membaca puisi anjuran golongan muda “indie” dan memberikan sokongan kepada aktiviti-aktiviti mereka.

“Ya, saya senangi anak-anak muda ini. Setiap kesempatan, saya akan hadir memenuhi atur cara yang mereka anjurkan.

“Mereka anak muda yang penuh idea, rajin beraktiviti dan dilihat rajin membaca,” kata Pyanhabib dalam satu wawancara di Pasar Seni, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis seperti itu, Pyanhabib kadang-kadang hadir menjual buku-bukunya seperti kumpulan puisi Balada Pyanhabib, Melukis Puisi: Sebuah Penceritaan Puisi-Puisi Pyanhabib, Dialog Kecil dan catatan kecil tentang isu semasa, Politikus Tikus-Tikus.

Ada orang mengenal Pyanhabib sebagai penyair. Ada juga yang mengenalinya sebagai pelakon terutamanya melalui watak Osman Tikus yang popular dengan dialog “Brader, kita mesti terus hidup” dalam Kembara Seniman Jalanan, filem yang mewakili semangat zaman anak-anak muda pada dekad 80-an.

Selain berlakon dan menulis puisi, Pyanhabib juga “veteran” dalam bidang kewartawanan. Tiga tahun sebagai wartawan kadet, 10 tahun bersama sidang pengarang majalah Mastika dan 10 tahun sebagai penyunting akhbar Utusan Malaysia bukanlah satu waktu yang singkat.

Pyanhabib pernah jadi gempar di media sosial apabila seorang pegawai di pejabat Najib Razak memuat naik gambar penyair ini bertemu dengan perdana menteri dalam satu majlis. Kononnya, Pyanhabib “balik ke pangkal jalan” dan sudah tidak lagi pro pembangkang.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight Pyanhabib “melakonkan” bagaimana tangannya yang diletakkan di kerusi Najib semasa berbual “ditepis” pengawal peribadi perdana menteri.

Pyanhabib yang mempunyai watak yang “warna-warni” bagaimanapun tidak berminat untuk menganggotai mana-mana parti politik, lebih selesa kekal bebas walaupun seringkali disalahertikan sebagai seorang “pro-pembangkang.”

“Insya-Allah, tidak. Tetapi jika ditakdirkan Alllah, bagaimana?

“Tiba-tiba keluar surat khabar Pyanhabib join parti itu ini. Ada sesiapa nak kasi gua RM5 juta?” katanya.

Selain itu, Pyanhabib juga berkongsi pengalaman manisnya apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad “menyelinap” hadir mendengar bacaan puisinya di Pasar Seni pada tahun 1987.

Berikut adalah sedutan wawancara The Malaysian Insight (TMI) bersama Pyanhabib:

TMI: Masihkah ada harapan untuk Malaysia? Dalam dunia seni? Politik?

Pyanhabib: Harapan dan masa depan Malaysia berada di tangan pelakunya. Malaysia akan terus berkecamuk jika pelakunya angkuh dan sombong.

TMI: Sepanjang kerjaya sebagai penyajak, pelakon dan aktivis seni, Pyanhabib dilihat “rebel” berbanding yang lain-lain. Mengapa pilih jalan berbeza? Mengapa tak pilih jalan kemewahan dan glamor?

Pyanhabib: Tidak ada rebelnya. Segala apa itu barangkali pembawaan saya yang dilihat orang sebagai ada benda yang sedikit lain iaitu perwatakan anak muda pada tahun-tahun 70-an dan 80-an yang sedikit bebas lepas, yang ghairah dengan hidup, misalnya.

Watak itulah yang kemudiannya muncul sebagai Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan. Filem itu dilihat sebagai filem anak muda marah-marah.

Bentuk — watak yang sama itu jugalah yang muncul semasa saya hadir ke pentas puisi dengan puisi-puisi yang di dalamnya wujud imej-imej benar dan langsung; tentang hal-hal di sekeliling yang dilihat dan dirasa, tentang politik dan politikus (tentulah hal-hal yang tidak palsu).

Memilih — memasuki jalan yang berbeza itu satu keseronokan, kepuasan. Memilih — memasuki kehidupan mewah, setiap orang punya hak tetapi memilih - memasuki dunia glamor dengan sengaja, itu adalah plastik. Dan syukurlah, saya hidup seikhlasnya, tidak kaya dan tidak miskin.

Sempatlah merasa pegang not RM50, jumlah yang besar ketika itu, diberikan Dr Mahathir Mohamad yang melihatnya membaca puisi di Pasar Seni pada 1987, seloroh Pyanhabib. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2017.

TMI: Apa perbezaan anak muda sekarang dan dulu?

Pyanhabib: Anak muda hari ini dipenuhi peluang dan ruang. Peluang muncul dan terbina tanpa perlu susah payah untuk bercita-cita.

Bagi mereka yang minat menulis, lakonan dan muzik misalnya, ada akademi yang memupuk - mengasuh mereka hingga tumbuh minat yang kemudiannya menjadi cita-cita.

Manakala ruang hadapan mereka berada di papan tanda “Google”, membantu mereka menjelajah dunia tanpa bergerak.

TMI:  Dalam karya saudara Pyanhabib seperti “Bapaku Seorang YB” nampak kritikan sosial di dalamnya. Apakah Pyanhabib menggunakan seni untuk menyampaikan kritikan?

Pyanhabib: Puisi ini saya tulis tahun 1984. Tulis catat di sana-sini. Pada tahun 1986 selalu dibaca di bawah tiang lampu Central Market.

Setiap kali baca, semangat sendiri pun naik termasuk syok sendiri, ha ha ha!. Idea menulis datang gitu-gitu saja.

Perangai politikus di pihak gomen (kerajaan) tidaklah seteruk sejahanam sekarang tetapi itulah yang saya mampu bayangkan dalam Bapakku Seorang YB.

Saya letakkan diri saya sebagai seorang anak yang bapanya seorang YB, ha!

TMI: Pandangan tentang Dr Mahathir?

Pyanhabib: Baik. Kita ambil yang sedap: Dr Mahathir punya idea yang melangkau jauh, penuh semangat dan berani. Eropah dan Barat memerhati.

Dia pencetus pelbagai idea hebat dan nyata. Jika musuh politik dalam negara memperleceh dan menjahanamkan kereta nasional atau meruntuh-rantahkan KLCC, mampukah mereka melenyapkan Putrajaya atau mengghaibkan Lebuh Raya Utara Selatan?

Ambil contoh kesesakan jalan raya di hadapan mata, di KL ini. Di zaman menjadi perdana menteri, Dr Mahathir mengarah supaya pembangunan Kuala Lumpur dihentikan, bukit-bukit pinggir bandar tidak digondol untuk bina bangunan.

Untuk itu Dr Mahathir meneroka hutan belantara, membina Putrajaya, Cyberjaya dan KLIA memindahkan pentadbiran kerajaan jauh dari kesesakan Kuala Lumpur.

Tetapi kesesakan Kuala Lumpur terus merasuk di zaman Najib, bangunan-bangunan dalam Kuala Lumpur terus dibina dan Kuala Lumpur tidak pernah siap!

Semasa menjadi perdana menteri, Dr Mahathir gemar memasuki khalayak ramai tanpa disedari, memerhati kehidupan rakyat di bawah pentadbirannya.

Dalam satu kejadian pada awal tahun 1987, ketika saya sedang syok membaca puisi di bawah tiang lampu Pasar Seni, dalam ratusan orang yang melihat, rupanya Dr Mahathir, Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Marina turut terselit menonton.

Dan sempatlah saya merasa memegang not RM50 diberi Dr Mahathir. Harga buku puisi saya RM5 tetapi Dr Mahathir beri RM50.

Paling saya tidak lupa apabila saya terbaca teks ucapan Dr Mahathir semasa dia merasmikan Perhimpunan Agung Umno di PWTC pada 24 April 1987.

Dalam ucapannya antara lain dia ada menyebut: “Demikianlah usaha yang dibuat sehingga pelukis-pelukis yang dahulunya tidak mempunyai tempat untuk mempamerkan hasil karya mereka, sekarang ini sudah dapat banyak tempat.

“Hatta para penyair pun boleh menarik pelanggan dengan mendeklamasikan sajak di tempat-tempat yang dikhaskan untuk mereka.”

Terasa apa yang saya lakukan itu diiktiraf. Cuma saya tidak setuju bila Dr Mahathir berkata “... penyair pun boleh menarik pelanggan ...” – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen