Rundingan terus projek Nafas, Salahuddin akui utus surat kepada PM


Zaim Ibrahim

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub mencabar Wee Ka Siong menunjukkan bukti terdapat salah laku dalam kementeriannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2019.

MENTERI Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub mengakui beliau menulis surat kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung rundingan terus bagi kontrak projek Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Namun, beliau berkata, rundingan itu belum tamat dan tiada mana-mana pihak menerima surat sedia terima (SST).

“Ya, betul saya tulis surat kepada perdana menteri. Saya tulis itu kerana ia tanggungjawab saya.

“Itu juga adalah proses. Selagi mana (proses rundingan) belum ditamatkan, semua orang boleh jumpa saya.

“Tetapi jika ia telah dimuktamadkan, telah keluar surat SST, kalau saya langgar itu salahlah,” kata beliau dalam satu sidang media di Pulau Pinang.

Tambah beliau, keputusan pemilihan dalam pemberian tender juga bukan dibawah bidang kuasanya sebaliknya dibawah Kementerian Kewangan.

“Sebenarnya keputusan (tender) belum muktamad. Selagi belum dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan, ia adalah proses yang masih berjalan

“Saya tetap tegas bahawa kita tidak menyalahi mana-mana peraturan. Tidak ada satu pun bukti mengenai dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam (Wee Ka Siong) menuduh kita ada skandal RM1.4 billion,” jelas beliau.

Khamis lalu,  Wee Ka Siong mendakwa amalan salah guna kuasa berlaku susulan tindakan kerajaan membatalkan pemilihan tiga kontrak berkaitan padi melalui tender terbuka, membabitkan nilai lebih RM1 bilion.

Ia melibatkan dua projek pembekalan input pertanian sektor padi bernilai RM1.4 bilion serta membekal, penghantaran dan kerja pengkapuran membabitkan kontrak bernilai RM54.28 juta.

Kontrak pembekalan selama tiga tahun itu dibatalkan walaupun sudah diluluskan Lembaga Perolehan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kata beliau.

Tambahnya, pembatalan itu dibuat selepas kementerian dikatakan mahu menganugerahkan projek tersebut kepada Nafas secara rundingan terus.

Salahuddin berkata, dakwaan itu tidak benar dan tiada unsur salah guna kuasa dalam hal itu.

“Skandal ini apa? Sebagai contoh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) . Wang itu masuk kepada saya, anak saya atau kroni-kroni saya, itulah skandal.

“(Tetapi) RM1.4 bilion ini untuk Nafas, untuk kebajikan dan pembangunan 920,000 petani dan peladang yang miskin,” ujar beliau.

Beliau turut mencabar Wee Ka Siong mengemukakan bukti bahawa dana itu telah digunakan sewaktu berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai lalu.

“(Saya) minta bukti, buktikan saya guna (dana) untuk perjalanan PRK.

“Buktikan ia digunakan pada 2 November hingga 16 November, buktikan,” tegas beliau.

Sebelum ini, Wee Ka Siong mendakwa, Nafas membuat tempahan bilik di Pontian sepanjang PRK Tanjung Piai dengan semua penghuni didapati memakai baju jingga. – 22 November, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen