Agamawan yang mandul


SEBAHAGIAN agamawan di Malaysia hari ini peranan mereka tidak lagi relevan dan perlu dibisukan. Agamawan ini banyak kecelaruan yang berlaku dalam diri mereka seperti menganggap syurga dan neraka adalah mereka yang punya, malah merasakan agama ini milik mereka.

Agamawan ini sangat layak digelar mandul kerana akhlak dan etikanya yang bertentangan dengan nilai Islam yang sejahtera dan harmoni. Kadang kala seumpama mengambil alih tugas Tuhan gamaknya.

Agamawan yang mandul ini sifatnya sering kali menerakakan manusia yang berdosa walhal Tuhan hanya beri lebih sedikit nikmat pada mereka mendapat hidayah. Tetapi mereka ini sering kali berasa terlalu mulia sehingga melihat orang di sekelilingnya hanya biasa-biasa dan banyak dosa.

Mereka ini tidak turun ke lapangan untuk menyantuni pendosa. Untuk apa? Untuk ajak ke syurga, tapi hanya tahu menerakakan mereka. Kemandulan agamawan yang hakiki adalah tidak membimbing manusia ke syurga-Nya.

Agamawan yang mandul ini juga sifatnya sering menggelar orang munafik. Mereka ini sering membaca hadis ciri-ciri munafik; jika ada ciri itu pada seseorang, maka terus cop orang itu munafik.

Agamawan ini seolah-olah telah menjadi seperti Huzaifah al-Yamani yang menyimpan nama-nama orang munafik yang telah diberitahu oleh Rasulullah. Walhal para sahabat nabi pada hari itu pun tidak tahu siapa orang munafik tetapi agamawan mandul pada hari ini lebih hebat daripada sahabat yang tidak perlu diberitahu Rasulullah untuk mengenal orang munafik.

Menggelar seseorang munafik ini besar implikasinya kerana orang munafik tempatnya di neraka yang paling bawah.

Dalam Al-Quran ada menyebut: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” (An-Nisa:145)

Beginilah kemandulan orang agama, tidak mampu bimbing manusia ke syurga.

Kemudian, agamawan yang mandul ini sifatnya sering mengkafirkan dan menfasikkan orang lain. Mereka ini melihat manusia yang berdosa seolah-olah tiada harapan lantas mengkafirkan mereka. Mereka ini acap kali mengkafirkan golongan yang berbeza dengan mereka.

Hassan Al Banna dalam usulnya yang ke 20 ada menyebut: “Kita tidak mengkafirkan seorang Muslim yang telah mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan tuntutan-tuntutannya dan menunaikan kawajipan-kewajipannya dengan hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya.“

Tapi agamawan mandul ini, yang kerjanya mengkafirkan dan mengfasikkan orang, gagal untuk mengajak orang beriman kerana kemandulan mereka.

Agamawan yang mandul hari ini kerja mereka bukan lagi untuk menyeru manusia kepada Allah, mengajak kepada syurga dan menjadi orang beriman, tetapi lebih tepat mengkafirkan, memunafikkan, menerakakan dan mengfasikkan orang lain.

Akhirnya orang agama inilah yang merosakkan agama. Siapa lagi yang lebih hebat merosakkan agama kalau bukan orang agama itu sendiri?

Agama bukan milik mutlak individu, apatah lagi parti atau kumpulan. – 22 November, 2019.

* Irham Masiri ialah aktivis Harmoni Universiti Malaya, siswa Ijazah Sarjana Muda Sejarah dan Tamadun Islam. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen