AMERIKA SYARIKAT akan kembali menerima pelarian selepas sekatan 120 hari, tetapi pelarian dari 11 negara “berisiko tinggi” kebanyakan adalah negara majoriti Islam akan terus disekat, kata pegawai pada Selasa.
Sekatan sementara itu yang mula dicadangkan pelaksanaan oleh Presiden Donald Trump sejak Januari dan mula dilakukan pada akhir Jun selepas keputusan Mahkamah Agung membenarkan pegawai menyemak prosedur keselamatan dan menetapkan prosedur yang lebih ketat.
Jennifer Higgins, pengarah bersama untuk pelarian di agensi Perkhidmatan Imigresen dan Warganegara AS berkata pemohon akan berdepan tapisan lebih ketat disebabkan semakan prosedur itu termasuklah semakan media sosial dan hubungan mereka.
“Keselamatan rakyat Amerika adalah keutamaan kami paling utama,” katanya kepada wartawan pada sidang media.
Trump mengeluarkan arahan baru eksekutif mengenai pelarian pada lewat Selasa seterusnya menggantikan arahan yang sudah tamat tempoh yang merupakan sebahagian daripada sekatan perjalanan kontoversinya. Sekatan itu beberapa kali dicabar di mahkamah kerana didakwa menyasarkan orang Islam.
Arahan baru itu selari dengan penurunan mendadak penerimaan pelarian di bawah pentadbiran Trump.
Presiden Barack Obama sebelum ini menetapkan had kemasukan pelarian tahunan yang berakhir apda 30 September 2017 sebanyak 110,000.
Tetapi selepas menjadi presiden, Trump mengurangkan jumlah itu kepada 53,000 ketika dia berusaha mengenakan sekatan penuh kemasukan pelarian.
Untuk tahun 2018, Trump menetapkan jumlah maksimum kepada 45,000.
Pegawai enggan menamakan 11 buah negara itu tetapi mengatakan ia sama dengan senarai dikeluarkan 2015 untuk tapisan lebih ketat, memerlukan “Pandangan Penasihatan Keselamatan”.
Pelarian dari negara terlibat kini tertakluk kepada semakan keselamatan dan perisikan, tetapi pegawai enggan mengulas proses selepas itu.
Agensi pelarian menamakan negara terjejas sebagai Mesir, Iran, Iraq, Libya, Mali, Korea Utara, Somalia, Sudan Selatan, Sudan, Syria dan Yaman.
Semua negara itu kecuali Korea Utara adalah negara majoriti Islam yang merupakan sumber teramai pelarian memasuki AS.
Negara itu mewakili separuh daripada pelarian memasuki AS. Pada 2017, daripada 53,716 pelarian diterima AS, 22,150 datang dari Syria, Iraq, Iran dan Somalia.
Pegawai mengatakan kerajaan masih akan terus menyemak kes tertentu dari 11 negara itu tanpa menjelaskan kriteria kes yang diberikan semakan khas itu. – AFP, 25 Oktober, 2017.
Komen