YAZID Sufaat, yang dikaitkan dengan serangan pengganas 11 September di Amerika Syarikat dan seorang perekrut untuk al-Qaeda, sudah meninggalkan prinsip ekstrem dan ideologi tegarnya, kata jurupulih Dr Ahmed El Muhammady.
Ahmed adalah seorang ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan salah satu fasilitator dilantik oleh kerajaan untuk memulihkan militan yang disabitkan di negara ini.
Beliau bertemu Yazid beberapa kali dan juga memberi keterangan dalam kesnya di mahkamah.
Ahmed memberitahu The Malaysian Insight bahawa Yazid yang mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai rancangan serangan World Trade Center di New York pada 2001, menyedari akibatnya jika beliau kembali kepada tabiat lama.
“Saya yakin beliau sudah meninggalkan perkara masa lalu. Beliau mahu bersama keluarganya dan menghabiskan masa bersama mereka.
“Beliau tahu risiko jika terlibat semula dalam apa jua bentuk kesalahan berkaitan keselamatan,” kata Ahmed.
Yazid dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam pada Rabu selepas menghabiskan dua tahun dalam penjara kerana merekrut ahli untuk menyertai al-Qaeda.
Yazid yang kini berusia 55 tahun diletakkan di bawah tahanan rumah susulan pembebasannya semalam dan tidak dibenarkan menggunakan Internet serta perlu memakai alat pengawasan.
Yazid adalah seorang daripada pemimpin yang dipercayai al-Qaeda, dan berkeyakinan dalam membunuh orang bukan Islam.
Pembebasannya menyebabkan keributan di media sosial dengan ramai mempersoalkan sama ada militan tegar itu sudah benar-benar insaf.
Mereka menuduh Putrajaya melepaskan seorang pengganas tegar ke dalam domain awam, menegaskan setiap kali selepas pembebasan terdahulu, beliau kembali ke mod aktif dan merekrut lebih banyak suspek pengganas.
Ketika mengumumkan pembebasan Yazid bulan lepas, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata militan itu akan dibebaskan mengikut undang-undang, selepas menjalani hukuman dua tahun.
Sementara itu, Ahmed menyifatkan Yazid sebagai seorang lelaki yang menyayangi keluarga.
“Sebagai seorang lelaki, beliau adalah bapa yang sangat penyayang dan lucu. Beliau sangat sayang kepada anak-anak perempuannya,” kata Ahmed.
“Saya sudah berjumpa dengannya berkali-kali. Di penjara sudah tentu dan juga di mahkamah di mana saya memberi keterangan dalam kesnya.”
Yazid berkahwin dengan Chomel Mohamad, seorang wanita Indonesia, dan mempunyai empat anak perempuan.

Kedua-duanya pernah bekerja sebagai katerer di Kantin Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Isteri Yazid kini berniaga sendiri di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.
Beliau yang dilahirkan di Johor adalah pengganas tegar dan dikehendaki oleh Singapura selepas polis menemui empat tan ammonium nitrat. Siasatan kemudiannya mendedahkan Yazid merancang serangan bom di Singapura.
Seorang graduan dari Amerika Syarikat dalam bidang biokimia, Yazid adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan serangan pengganas 9/11.
Dalam Laporan Akhir Suruhanjaya 9/11 yang dikeluarkan pada Julai 2004, dikatakan Yazid bertemu empat anggota penting al-Qaeda di rumahnya di Kuala Lumpur sebelum serangan di New York di mana mereka “bercakap tentang kemungkinan merampas pesawat dan meletupkannya.”
Dua daripada empat lelaki itu - Khalid al-Mihdhar dan Nawaf Muhammad Salim al-Hazmi - adalah antara militan terbabit kejadian 11 September.
Yazid pertama kali ditangkap pada 2001 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas tiba dari Pakistan. Beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang kini tidak berfungsi sehingga 2008.
Pada 2013, beliau ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) kerana dituduh merekrut anggota baru bagi kumpulan militan Daesh. Beliau menerima hukuman penjara empat tahun.
Secara keseluruhannya, Yazid sudah tiga kali ditahan kerana kegiatan berkaitan pengganasan dan menghabiskan hukuman selama 17 tahun di penjara sepanjang 20 tahun penglibatannya dengan pengganas.
Sebelum menjadi aktif dalam kegiatan pengganas, Yazid adalah seorang kapten tentera dan pernah berkhidmat di Bosnia dan mula bersimpati terhadap umat Islam yang dibunuh oleh tentera Serbia. – 22 November, 2019.
Komen