Apandi buat laporan terhadap Raja Petra


Lionel Morais

Penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang hidup dalam buangan di UK menuduh Peguam Negara Mohamed Apandi Ali (gambar) terlibat dalam korupsi menerusi tulisannya menyebabkan Apandi membuat laporan polis Ahad lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017.

PEGUAM Negara, Mohamed Apandi Ali menolak dakwaan terlibat dalam rasuah dengan memfailkan laporan polis terhadap penulis blog, Raja Petra Kamaruddin, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Apandi membuat laporan polis di Kuantan, Pahang pada Ahad sementara pejabatnya memfailkan laporan kedua di balai polis Putrajaya pada hari yang sama.

Pejabat Apandi sebelum itu membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Kuantan, pada Jumaat.

“Laporan polis itu atas jenayah fitnah,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Laporan-laporan tersebut dibuat susulan dua tulisan Raja Petra bertajuk “Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1 and Part 2” yang terbit di blog Malaysia Today pada Jumaat dan Ahad.

Antara dakwaan yang dilemparkan oleh Raja Petra terhadap Apandi ialah kononnya peguam negara itu meminta RM4 juta daripada seorang ahli perniagaan China, yang dirujuk sebagai “rakan kongsi perniagaan” Sultan Johor, berhubung satu kes yang memihak kepadanya.

Raja Petra juga menulis tentang kononnya sebuah pertemuan pada 2015 antara hakim-hakim kanan — bekas Ketua Hakim Negara, Arifin Zakaria; Ketua Hakim Negara, Md Raus Shariff dan Presiden Mahkamah Rayuan, Zulkefli Ahmad Makinudin – dengan seorang ahli politik kanan bagi membincangkan dakwaan menjatuhkan kerajaan.

Apandi menafikan dakwaan Raja Petra mengenai rasuah dan kononnya bagaimana beliau mendapat jawatan peguam negara dalam tulisan-tulisan itu dan mengatakan beliau akan saman Raja Petra “sampai ke akhirat”.

“Serius saya akan saman dan saya sedang berunding dengan peguam di UK. Ini tidak lain hanya berita palsu yang dibuat dengan niat jahat,” kata Apandi seperti dipetik oleh media.

Raja Petra menyerang dengan tulisannya yang kedua dengan bertanya bahagian manakah yang palsu dalam tulisan.

“Banyak yang disentuh dalam tulisan itu, jadi Apandi perlu jelaskan yang mana yang palsu kalau dia rasa itu palsu,” kata penulis blog itu.

Raja Petra kini hidup dalam buangan di UK selepas melarikan daripada dakwaan menghasut dan fitnah di Malaysia pada 2006. Dakwaan itu bersabit dengan tulisan-tulisannya mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor dengan pembunuhan kejam model dan penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu. – 25 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ini sudah bagus,apandir sudah bangkit melawan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Kes akan melibat orang orang yang terkenal, termasuk Sultan Johor. Nampaknya kes tidak akan jadi mudah

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan