LIRIK asal David Bowie bertajuk “Starman” telah dijumpai, selepas kertas lirik sebelumnya dijual di Los Angeles.
Lembaran kertas yang menampilkan draf awal lirik itu dijangka dijual dengan harga £4,500 (RM25,000).
Walaupun tiada tandatangan Bowie, kertas lirik itu disertakan sekali dengan sijil keaslian, beserta tajuk “Starman” yang ditulis di bahagian atas kertas itu.
Sebahagian besar lirik itu ada dalam helaian tersebut tetapi dengan beberapa perubahan “halus”.
Pada helaian yang dijumpai itu, terdapat sebaris ayat “Some cat was layin down some rock ‘n’ roll, ‘lotta soul, he said.”
Tetapi pada 1972, ketika era Ziggy Stardust (alter-ego Bowie) popular, lirik itu diubah menjadi “Some cat was layin’ down some get it on rock ‘n’ roll, he said.”
Antara perubahan kecil yang dikenal pasti dalam helaian itu adalah “Came back on a wave of phase” yang bertukar menjadi “Came back like a slow voice on a wave of phase haze.”
Lembaran kertas itu sekarang ini berada di bawah jagaan pelelong Julien’s Auctioneers dan dijangka akan dijual pada 4 November ini dengan anggaran antara RM16,722 hingga RM25,000.
“Starman” adalah single pertama dari album kelima Bowie, “Ziggy Stardust and The Spiders From Mars.”
Sejak diterbitkan dan menduduki carta, lagu itu terus diangkat menjadi lagu paling ikonik dalam sejarah muzik.
Bowie meninggal dunia pada 10 Januari 2016 dan sehingga kini muziknya masih bermain difikiran peminatnya di seluruh dunia. – NME, 24 Oktober, 2017.
Komen