PERSELISIHAN antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali nampaknya kini merebak ke dalam sayap Pemuda.
Beberapa jam selepas Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham mengumumkan “Pemuda” mahu Azmin menyampaikan ucapan dasar di kongres mereka bulan depan, ketua Akmal Nasir berkata “panggilan” itu tidak mewakili sayap mereka.
“Tidak betul memanggil mesyuarat semalam sebagai mesyuarat rasmi kerana notis mesyuarat kami hanya akan dikeluarkan pada 24 November.
“Pendapat yang diutarakan daripada mesyuarat semalam hanya mewakili orang tertentu dan bukannya AMK,” kata Akmal kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata hanya 13 daripada 49 exco Pemuda menghadiri “mesyuarat” Hilman.
“Ia mengelirukan. Jika anda ingin memanggil mesyuarat, notis perlu dikeluarkan dua minggu sebelum mesyuarat. Dan perlu ada korum mencukupi untuk mengadakan mesyuarat itu.
“AMK tidak boleh mengadakan mesyuarat di rumah tetapi perlu diadakan di pejabat PKR,” kata Akmal.
Isu ini bermula apabila sayap Pemuda, yang diketuai oleh Akmal, memutuskan memecah tradisi dengan menjemput bekas presiden dan penasihat Dr Wan Azizah Wan Ismail merasmikan kongres mereka dan bukannya timbalan presiden.
Sejak itu, puak yang rapat dengan Azmin menyatakan kekecewaan mereka dengan keputusan tidak menjemput Azmin. Sementara itu, rakan yang lain mempertahankan hak mereka untuk berbuat demikian.
Akmal berkata Hilman berada dalam dilema kerana beliau adalah setiausaha politik Azmin.
“Tetapi parti lebih besar daripada semua orang,” kata Akmal.
Apabila ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Hilman, Akmal berkata ia terpulang kepada sayap Pemuda itu.
Sementara Hilman rapat dengan Azmin, Akmal dilaporkan memihak kepada Naib Presiden PRK Rafizi Ramli dan Anwar. – 21 November, 2019.
Komen