AMK kumpulan timbalan ketua sokong Dr Mahathir kekal perdana menteri


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Shah Alam, malam tadi.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 21 November, 2019

MAJORITI pimpinan sayap Pemuda PKR peringkat cabang di seluruh negara malam ini menyatakan sokongan untuk Dr Mahathir Mohamad terus kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal parlimen bagi menghormati mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham berkata sokongan itu dinyatakan oleh 132 daripada 196, atau 67%, pimpinan cabang Angkatan Muda Keadilan hasil satu mesyuarat malam tadi.

“Bermuafakat untuk mempertahankan kestabilan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dr Mahathir daripada sebarang usaha atau langkah yang bertujuan mengganggu gugat kedudukan serta peranan beliau sebagai perdana menteri Malaysia ke-7.

“Ini adalah soal mandat yang diberikan oleh rakyat dan saya sebut tadi bila sampai masanya Dr Mahathir buat keputusan kita terima dengan baik.

“Tetapi kita sebut jelas dalam kenyataan kita bahawa kita akan pertahankan sebarang usaha-usaha yang akan menidakkan kerajaan pada hari ini,” kata Hilman kepada pemberita, selepas mesyuarat selesai di Shah Alam.

Dalam pada itu, Hilman yang juga setiausaha politik kepada Mohamed Azmin Ali menjelaskan pertemuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dengan 22 ahli Parlimen Barisan Nasional di kediamannya kelmarin berkaitan isu pembangunan dan kestabilan negara.

Pertemuan pada Isnin malam itu disertai lima ahli Parlimen dari PKR.

“Saya dah beri taklimat kepada pimpinan dan kita semua jelaskan apa dibincangkan ialah isu-isu pembangunan negara dan soal mempertahankan kestabilan negara hari ini,” katanya.

“Kita beri komitmen jelas untuk kita pertahankan pimpinan Dr Mahathir sebagai mana mandat yang diberikan rakyat,” katanya lagi.

Pertemuan Azmin dan wakil rakyat pembangkang di rumahnya itu berlangsung dua hari selepas BN mengalahkan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, dengan majoriti besar.

Hampir semua pimpinan PH mengaku terkejut dengan kekalahan itu termasuk Dr Mahathir, yang juga pengerusi PH dan Bersatu.

Susulan kekalahan PH itu beberapa pihak dalam PKR dan DAP membuat desakan terbuka mahu Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Latar belakang itu mencetuskan desas-desus pertemuan Azmin dengan pemimpin pembangkang itu ada kaitan dengan kedudukan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Antara ahli Parlimen BN yang hadir dalam di rumah Azmin malam kelmarin termasuk bekas Naib Presiden Umno Hishammuddin Hussein yang terkait dengan spekulasi mengenai usaha membawa ahli Parlimen Umno ke dalam PH.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan beliau mengatur pertemuan tersebut. – 21 November, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen