Tiada tindakan disiplin ke atas Azmin, kata biro politik PKR


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sekali lagi tidak hadir ke mesyuarat biro politik yang berlangsung malam ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019

BIRO Politik PKR memutuskan tiada tindakan disiplin terhadap Mohamed Azmin Ali kerana tidak hadir mesyuarat parti, kata pengarah komunikasi parti Fahmi Fadzil.

Biro politik yang bermesyuarat malam ini juga memutuskan untuk tidak mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada timbalan presiden PKR itu kerana mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat pembangkang di kediamannya kelmarin.

“Setakat ini tiada kes disiplin terhadap Azmin dan perkara itu tidak berbangkit buat masa ini,” kata Fahmi kepada wartawan selepas mesyuarat selesai.

Azmin sekali lagi tidak hadir ke mesyuarat biro politik yang berlangsung malam ini.

Jelas Fahmi, biro politik sebaliknya memutuskan memberi Azmin peluang untuk hadir ke mesyuarat dan menjelaskan pertemuan beliau dengan wakil rakyat Umno kelmarin.

Katanya, tiada had masa ditetapkan kepada Azmin untuk berbuat demikian.

“Parti tidak keluarkan surat tunjuk sebab. Kita sedia mendengar sendiri daripada beliau dan kita akan tunggu.

“Kita mahu beliau datang dan beri penjelasan. Kita tidak tetapkan masa,” katanya.

Semalam Fahmi memberitahu tindakan Azmin memanggil pemimpin pembangkang ke rumahnya malam kelmarin akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik malam ini.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga dalam reaksinya mahu Azmin memberi penjelasan mengenai hal itu kepada parti.

Ditanya kenapa Azmin tidak hadir ke mesyuarat malam ini, Fahmi berkata menteri itu mungkin adalah urusan lain yang mendesak.

“Mungkin media boleh tanya beliau,” katanya.

Pertemuan Azmin dengan wakil rakyat pembangkang mencetuskan spekulasi ia ada kaitan dengan kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri susulan ada desakan mahu beliau letak jawatan selepas Pakatan Harapan kalah pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Dr Mahathir hari ini menafikan beliau mengarahkan Azmin mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat Barisan Nasional itu.

Perdana Menteri juga berkata beliau tidak bercakap dengan Azmin mengenai pertemuan itu.

“Saya tidak tahu kenapa beliau ada pertemuan itu. Ia melibatkan parti lain juga. Ini masalah PKR dan mereka kena siasat perkara ini,” katanya. – 20 November, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen