Nasib malang keluarga suspek LTTE bertimpa-timpa


Kalidevi Mogan Kumarappa

N. Lalitta, isteri kepada B Subramaniam yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 November, 2019.

BAGAI jatuh ditimpa tangga, nasib malang anggota keluarga suspek yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) tidak berkesudahan.

Tidak cukup dengan kehilangan tempat bergantung, ada di kalangan keluarga ini mengadu perniagaan merosot dengan teruk dan pelajaran anak-anak turut terjejas.

Seorang daripadanya, N Lalitta, berkata ia bermula apabila pasukan polis antipengganas muncul di restoran mereka untuk menahan suami, B Subramaniam.

“Pasukan polis berpakaian serba hitam menyerbu restoran kami mengacu senapang ke arah pelanggan yang sedang makan dan mengarah supaya tidak membuat rakaman.

“Sejak hari itu pelanggan sudah takut untuk datang ke restoran kami,” kata Lalitta, 55, ketika ditemui The Malaysian Insight di Sungai Buloh.

Katanya, keluarga itu hanya bergantung harap kepada perniagaan itu untuk menyara pengajian anak bongsu yang kini belajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Namun kini mereka terpaksa menangguhkan pengajian anak perempuannya itu kerana tidak mampu membayar yuran pengajiannya.

“Sekarang anak sulung dan kedua yang menggalas tanggungjawab sebagai pengganti bapa mereka,” katanya.

Gadis berkenaan, S Kaviarasuroy, 22, menganggap penahanan bapa mereka sebagai malapetaka kedua selepas kematian abang sulung dua tahun lalu.

“Saya kini sedang mencari kerja bagi menanggung kedua ibu bapa dan bakal menangguhkan pengajian kerana tidak mampu untuk membayar yuran,” katanya.

Turut berkongsi nasib adalah V Umah Devi, isteri kepada seorang Exco Melaka, G Saminathan yang turut ditahan dalam operasi polis.

Umah Devi, 31, berkata keluarganya kini hanya dapat bergantung kepada bantuan yang disalurkan parti DAP.

Sebelum Saminathan ditahan, keluarganya disara dengan pendapatan Adun Gadek itu sebagai wakil rakyat dan ahli majlis mesyuarat kerajaan.

“Selama ini, suami bukan saja menyara saya dan dua anak tetapi empat orang kakak bersama enam anak mereka lagi.

“Kini, kami sudah hilang tempat bergantung. Anak-anak cukup merinduinya dan kami cuma berharap kerajaan akan prihatin dengan kesusahan kami,” katanya.

Selain Saminathan, polis turut menahan seorang lagi wakil rakyat DAP, P Gunasekaran (Seremban Jaya) dalam operasi pada 10 Oktober.

Dua wakil rakyat itu serta 10 yang lain didakwa di mahkamah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Turut didakwa pemandu teksi V Balamurugan, penghantar surat S Teeran, peniaga besi buruk A Kalaimughilan, ketua pegawai perbadanan S Chandru dan juruteknik S Arivainthan.

Empat orang lagi adalah penjaga stor S Thanagaraj, pengawal keselamatan M Pumugan, guru sekolah Sundram Renggan @ Rengasamy, serta ahli DAP V Suresh Kumar.

Kesemuanya didakwa dengan dengan tuduhan menyokong LTTE. Jika sabit kesalahan, kesemua 12 orang itu berdepan hukuman maksimum tujuh tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Lebih 200 ahli keluarga berkenaan merancang untuk berhimpun di luar bangunan Parlimen hari ini untuk menuntut polis membebaskan suspek tersebut.

Mereka berharap Dr Mahathir Mohamad akan mengarahkan 12 tahanan berkenaan bebas dari tahanan bawah akta Sosma itu.

Sosma memberi kuasa kepada polis untuk menahan suspek berkenaan selama 28 hari tanpa perbicaraan.

Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji untuk memansuhkan akta zalim seperti Sosma namun pada bulan lalu mengumumkan akta berkenaan hanya akan dipinda. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen