DR Mahathir Mohamad akan menimbang untuk merombak kabinet susulan kekalahan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai hujung minggu lalu.
Katanya, sebagai perdana menteri beliau bertanggungjawab untuk melakukannya, selepas mendengar desakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Saya telah dengar pandangan mereka (ahli MPT) dan akan menimbang permintaan supaya kabinet dirombak.
“Bukan hari ini atau esok tetapi selepas kita kaji dan teliti pencapaian menteri-menteri.
“Kita akan bincang keperluan untuk rombakan selepas itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya, petang tadi.
Pemimpin Bersatu pada mesyuarat itu hari ini terkejut dengan kekalahan PH di Tg Piai, kata Dr Mahathir hari ini.
“Kami sedar sukar untuk menang dan kami mungkin kalah. Tetapi sudah tentu tidak sampai ke tahap itu,” kata pemimpin berusia 94 tahun yang juga pengerusi PH.
Parti berkenaan membincangkan sebab kekalahan itu dan bersetuju bahawa sebagai sebuah parti baharu, Bersatu masih tidak cukup teratur.
Pemimpin parti itu juga bersetuju bahawa isu lain seperti kos sara hidup yang tinggi, ekonomi dan ketidakupayaan Putrajaya untuk menyalurkan bantuan sebagaimana kerajaan terdahulu merupakan antara faktor berkenaan, tambahnya.
“Namun akhirnya terdapat keperluan untuk rombakan kabinet,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata, rombakan kabinet bukan perkara mudah kerana perlu mengambil kira pandangan sekutu Bersatu dalam PH - PKR, DAP, Amanah - dan juga parti mesra PH, Parti Warisan Sabah.
“Saya tak boleh gugur atau tukar orang begitu sahaja. Ia akan mengambil masa.”
Beliau berkata, walaupun kerajaan PH telah mulakan banyak program, ia akan mengambil masa sebelum menampakkan hasilnya.
Salah satu perubahan terbesar kata Dr Mahathir, adalah perang terhadap rasuah.
“Ia digunakan dalam berbilion-bilion dan masih terdapat beberapa di peringkat yang lebih rendah, tetapi ia kurang.” – 20 November, 2019.
Komen