Yazid Sufaat bebas Pota, kena tahanan rumah


Kalidevi Mogan Kumarappa

Bekas kapten tentera, Yazid Sufaat ditahan bawah Pota pada Disember 2017 yang merupakan hukuman penjara kali ketiga yang dijalaninya sejak 17 tahun lalu. – Gambar Instagram, 20 November, 2019.

TAHANAN bawah Akta Pencegahan Keganasan (Pota) Yazid Sufaat dibebaskan hari ini dari Penjara Simpang Renggam, Johor.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Yazid bagaimanapun akan menjalani tahanan rumah selama setahun.

Selain itu, Yazid juga akan dipakaikan alat pengawasan untuk tempoh sama membantu pemantauannya, kata sumber.

Menurutnya ia adalah syarat ditetapkan Lembaga Pencegahan Keganasan yang membebaskan militan tersebut selepas tempoh tahanan dua tahun itu berakhir.

“Lembaga berkenaan bermesyuarat bulan lalu dan memutuskan untuk membebaskan Yazid hari ini. 

“Mereka mempertimbangkan semua aspek keadaan Yazid sepanjang tempoh tahanan,

“(Ia) termasuk kelakuan dan sama ada dia sudah insaf sepenuhnya atau tidak sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kita mengikut semua prosedur seperti yang diputuskan lembaga,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu ketua pasukan antipengganas PDRM Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan Yazid dikenakan tahanan rumah.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada bulan lalu memberi jaminan akan sentiasa membuat pengawasan sekiranya Yazid dibebaskan.

Bekas kapten tentera itu ditahan bawah Pota pada Disember 2017. Ia merupakan hukuman penjara kali ketiga yang dijalaninya sejak 17 tahun lalu.

Pada mulanya beliau ditahan bawah ISA antara 2002 hingga 2010 atas kegiatannya dengan Al Qaeda dan serangan ke atas Amerika Syarikat.

Selepas dibebaskan, beliau ditahan semula selama empat tahun pada 2013 kerana merekrut ahli untuk Daesh di Syria.

Lulusan sains biokimia itu didakwa terlibat dengan pembinaan makmal di Kandahar, Afghanistan bagi mengeluarkan bakteria antraks. – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen