2 wakil rakyat Umno bergaduh di lobi Parlimen depan wartawan


Ravin Palanisamy Chan Kok Leong Khoo Gek San

AHLI Parlimen Umno Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) bertikam lidah di lobi Parlimen di depan wartawan sehingga terpaksa disuraikan oleh pengawal keselamatan dan wakil rakyat lain, hari ini.

Pergaduhan itu tercetus ketika kedua-dua mereka keluar daripada dewan, dengan masing-masing saling mengeluarkan kata-kata kesat.

Ia menjadi semakin buruk, walaupun Tajudin berlalu pergi dan menuju ke pejabat Parlimen tetapi diikuti oleh Ismail.

Pada satu ketika, Ismail kedengaran menjerit kepada Tajudin: “Bodoh! Bangang! Apa ni ahli Barisan Nasional lama.”

Ismail juga berkata, “Awak hantar gambar, awak hantar gambar” kepada Tajuddin.

Tajuddin membalas: “Salah ke hantar gambar?”

Ismail mengherdik balik: “Bodoh, sangat bodoh. Saya akan jumpa awak nanti sebab ada pengawal (keselamatan) sekarang.”

Kedua-dua wakil rakyat itu kemudian diiringi pengawal keselamatan yang membawa Ismail masuk kembali ke Dewan dan Tajudin berjalan menuju pejabat pembangkang di bangunan Parlimen.

Di lobi Parlimen, Ismail memberitahu wartawan: “Kawan saya melawat anak saya. Tetapi, dia jadikan isu dan tuduh saya bentuk pakatan untuk sokong pemimpin lain.”

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu bagaimanapun tidak menjelaskan tuduhan itu dan dikawal untuk masuk ke dalam ruang rehat ahli Parlimen.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (Ketereh-BN) turut muncul dam memberitahu wartawan yang beliau akan “selesaikan isu” itu.

Annuar dan Shahidan Kassim (Arau-BN) kemudiannya mengiringi Ismail ke pejabat Parlimen.

Dua puluh minit kemudian, Tajuddin kembali ke Parlimen tetapi tidak mahu mengulas pergaduhannya dengan Ismail.

“Salah faham antara kawan, saya tak mahu ulas,” katanya sebelum berlalu pergi.

Pada 12 November lalu, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein memuat naik gambar di Twitternya menunjukkan beliau dan beberapa orang wakil rakyat lain melawat anak Ismail yang sakit.

Hishammuddin dilaporkan antara wakil rakyat BN yang berjumpa Azmin pada malam Isnin lalu walaupun menafikan jadi dalang pertemuan itu.

Ismail adalah salah seorang wakil rakyat pembangkang didakwa menyertai pertemuan itu. – 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen