Hikayat media sosial Munshi Abdullah


SEORANG seniman Palestin kelahiran Australia bernama Sarah Bahbah mempunyai seramai 946,000 pengikut di Instagram. Antara manifesto perjuangan beliau ialah mendemokrasikan pemilikan seni kepada khalayak umum. Lukisan Sarah berjudul “Sex and Takeout – Pizza” telah dikongsi berjuta kali dan kini ia boleh dipesan melalui tempahan. 

Ini ialah satu contoh bagaimana seorang penular media sosial menggunakan teknologi untuk memberi impak dan menyebarkan maklumat kepada khalayak ramai. 

Tetapi adakah fenomena penular media sosial hari ini sesuatu yang baharu? Bukankah keinginan untuk bersosial adalah naluri semula jadi manusia? Apabila kita terdengar sesuatu gosip atau berita sensasi, kita pasti ingin berkongsi secepat mungkin maklumat tersebut. Maka kita menggunakan media.

Di Semenanjung Melayu, sekitar abad ke-19, belum ada aplikasi Twitter, Facebook, Instagram, atau Buzzfeed untuk menyebarkan maklumat. Tetapi ada seorang anak kelahiran Melaka bernama Abdullah bin Abdul Kadir yang pada waktu ini giat melakukan percetakan Jawi di Melaka dan Singapura. Bukan itu sahaja, beliau juga merakam peristiwa semasa dan penemuan teknologi terbaru.

Kita mengenali beliau sebagai Munshi Abdullah. Cendekiawan menggelar beliau Bapa Sastera Melayu Moden, Bapa Wartawan, dan Bapa Percetakan Melayu. Tetapi ketaasuban memberikan label ini sebenarnya membataskan kita daripada melihat kehidupan Abdullah dengan lebih terbuka dan dinamik. Salah satunya ialah keterujaan beliau kepada teknologi. 

Pada suatu hari Munshi Abdullah menemui kamera. Ia bermula dengan pada suatu petang apabila Abdullah pergi mengajar bahasa Melayu kepada seorang mubaligh Kristian bernama Benjamin Keasberry. Beliau menunjukkan kepada Abdullah sekeping tembaga kira-kira dua jengkal panjang dan sejengkal lebih sedikit lebarnya. 

Maka dalam tembaga itu ialah gambar Singapura yang timbul tenggelam bayangnya. Ini berlaku pada tahun 1843. Kalau sekarang, ia sama seperti menunjukkan kepada seorang kawan gambar paling jelas yang ditangkap dengan telefon pintar iPhone yang paling terkini.  

Abdullah kemudian berpeluang untuk melihat sendiri teknologi kamera yang dibawa oleh seorang warga Amerika bernama Doktor Stronach. Abdullah menulis: “Maka berjalanlah aku naik ke bukit. Maka mereka itu pun sampailah. Maka kulihat doktor itu pergi masuk ke dalam bilik. Maka dikeluarkannyalah satu peti; maka peti itu ada berteropong. Maka adapun cermin teropongnya itu terkeluar, adalah sebesar satu duit. Maka cermin itu pula ada berlapis dua, sebelah dalamnya besar. Adapun cermin besar yang di dalamnya itulah membesarkan barang sesuatu yang kelihatan di hadapannya.”

Petikan ini bukan sahaja menunjukkan perincian Abdullah dalam merakam sesuatu peristiwa, tetapi keterujaan beliau terhadap teknologi baharu. 

Dalam dunia hari ini, manusia terdedah kepada teknologi baharu sepanjang masa. Telefon pintar, misalnya, sudah menjadi sebahagian daripada hidup kebanyakan orang sehingga tidak ada lagi keterujaan apabila mereka mengeluarkan telefon daripada saku seluar atau beg tangan. Tetapi bagi seseorang yang hidup pada abad ke-19 di Melaka dan Singapura, seperti Munshi Abdullah, kedatangan teknologi canggih seperti kamera, mesin cetak, dan kapal asap ialah keajaiban akal manusia dan pintu kepada ilmu sains dari Barat. 

Justeru, apabila kita membaca karya-karya Abdullah, kita mengetahui bukan sahaja betapa pentingnya teknologi, tetapi bagaimana ia boleh digunakan sebagai alat komunikasi dan wahana kritikan sosial.

Pada tahun 1837, Abdullah berlayar ke Pantai Timur dari Singapura bersama wakil Inggeris untuk mengirimkan surat rasmi kepada raja di Kelantan. Sepanjang pelayaran itu, beliau melihat, mencatat, dan merenung secara sedar masalah kemiskinan yang dihadapi oleh orang Melayu. Kalau boleh tangkap gambar, rakam video, dan tularkan di Facebook, pasti beliau sudah lakukan. 

Walaupun hanya berbekalkan pena dan kertas, pemerhatian dan kritikan Abdullah masih dibaca dan diperdebatkan oleh generasi hari ini kerana beliau mengambil inisiatif untuk mencatat secara terperinci setiap tempat beliau lawati. Paling penting: catatan tersebut dicetak sebagai buku berjudul “Kisah Pelayaran ke Kelantan.”  

Percetakan Melayu bermula di Semenanjung Melayu dengan kedatangan London Missionary Society (LMS) di Melaka pada tahun 1815 melalui usaha mubaligh Kristian seperti William Milne dan C. H. Thomsen. Pengenalan Abdullah dengan gerakan mubaligh ini menjadikan beliau anak tempatan terawal yang belajar membuat percetakan. Pada mulanya, Abdullah hanya membuat terjemahan, suntingan, dan cetakan. Tetapi selepas berpindah ke Singapura, Abdullah memperluskan lagi kemahiran beliau ke dalam cetakan litografi dan mula menerbitkan karya beliau sendiri.

Kita harus ingat bahawa pada abad-19, kedai buku masih belum wujud dalam dunia Melayu. Kebanyakan manuskrip ketika itu disimpan secara individu dan selalunya dimiliki oleh para pembesar dan ahli agama. Namun, jumlahnya tidak banyak. 

Percetakan dengan produksi yang besar giat dijalankan selepas manuskrip seperti “Hikayat Abdullah” dan Quran litograf cetakan Azhari muncul. Maka ramai penerbit mula mengiklankan supaya orang ramai menghantar manuskrip dalam simpanan mereka untuk dicetak. Bukan hanya satu salinan dibuat, tapi kuantiti manuskrip yang disalin itu lebih besar. 

Masyarakat kemudiannya lebih mengambil berat akan ilmu pengetahuan dan penyebaran maklumat melalui buku dan media cetak. Ketika revolusi percetakan ini sedang menyemarak, Abdullah ialah pengarang dan pencetak bahasa Melayu yang memainkan peranan paling penting. 

Bermula 23 November sehingga 8 Disember, pihak Melaka In Fact akan menganjurkan pameran berjudul “Munshi Abdullah: Penular Media Sosial” bertempat Ghumah Homestay, Kampung Dua, Jalan Tokong, Melaka. Pameran ini diadakan dengan kerjasama pihak UNESCO.

Matlamat pameran ini ialah untuk menampilkan Munshi Abdullah sebagai seorang penular media sosial. Abdullah tidak hidup sezaman dengan generasi Tik Tok sekarang, tetapi seperti kebanyakan penular media sosial, beliau melahirkan pengikut dan mencetuskan wacana yang masih terus dibincang dan diperdebatkan.

Antara aktiviti-aktiviti yang bakal diadakan di pameran ini ialah bengkel kewartawanan, bengkel litografi dapur, bengkel menulis dan membaca manuskrip Jawi, pencarian harta karun sekitar Kampung Ketek, jejak warisan Munshi Abdullah, bacaan hikayat serta syair. 

Kami juga menganjurkan sesi syarahan dan forum yang menampilkan pengarang dan sarjana seperti Faisal Tehrani, Dr Dato’ Baharuddin Ahmad, Fahmi Mustafa, Zainal Rashid Ahmad, dan Dr Aiza Maslan.

Semenjak beberapa hari lepas tular berita FINAS nak minta kerajaan mengenakan tapisan ke atas Netflix di Malaysia dengan alasan kandungannya boleh meruntuhkan moral remaja. Tetapi sejauh manakah kita boleh mengekang kemunculan sesuatu media baharu?

Seperti mana masyarakat Melayu pada zaman Abdullah menolak manuskrip cetakan huruf, lama-kelamaan mereka menyesuaikan juga teknologi itu dengan budaya tempatan. Teknologi hanya alat; kita yang menentukan baik dan buruknya. Kalau Abdullah masih hidup, mungkin beliau akan ketawa melihat Netflix diharamkan. – 20 November, 2019.

* Wan Nor Azriq adalah kurator Pameran Munshi Abdullah. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen