Cerita dari Tanjung Piai, tanah paling selatan benua Asia


Izmil Amri

CUMA ada dua jalan besar di kawasan Parlimen Tanjung Piai. Satu dari Batu Pahat turun sampai ke Kukup dan Tanah Paling Selatan Benua Asia. Satu lagi dari Timur ke Barat, menganjur dari Skudai, merentas Pekan Nanas dan menghala ke Pontian Kecil.

Dua batang jalan raya ini ada sebahagian besarnya tidak diterangi lampu, membuatkan orang malas keluar malam. Permukaannya juga tidak elok, dilalui kenderaan berat saban hari. Membawa sawit, dan entah apa lagi.

Begitu juga halnya dengan kedai mamak. Tidak ada banyak kedai mamak di Piai. Bahkan seakan-akan cuma ada tiga. Dua daripadanya bernama Assalam. Roti canai di sana murah. Sekadar 80 sen, harga yang sudah tidak boleh ditemui di Kuala Lumpur atau mana-mana bandar besar.

Malah ada saya ketemu sebuah kedai makan yang menawarkan menu teh ‘bobba’ dan juga nasi kari Jepun, dihidang bersama dada ayam goreng rangup sebesar penampar; pada harga tak sampai RM10. Kedai-kedai makanan laut (baca: kedai tomyam) juga bersepah, dan harganya langsung tidak cekik darah.

Penduduk setempat ramai yang bekerja mengusahakan ladang sawit, atau turun ke laut. Kilang-kilang juga ada. Tapi yang kerjanya ramai warga asing. Demikian itu, dobi layan diri juga berlambak. Seakan sama banyak dengan kedai tomyam.

Tidak kalah banyak adalah kedai ‘permainan kanak-kanak’. Entah kenapa kedai semacam ini boleh dijumpai merata-rata. Alah, yang letak token dan ada tangan mekanikal turun mengaut patung, tapi terlepas; lalu si anak perlu mencuba lagi. Masuk token lagi. Begitulah sampai taukenya kaya raya.

Sebut tentang tauke, begitulah berakhirnya pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai; dengan kemenangan seorang tauke yang datang dari parti para tauke.

BN tak menang, PH yang kalah

PRK Tanjung Piai adalah pantulan PRU ke-14, di mana semuanya habis terbalik. Yang kanan jadi kiri, yang atas sudah ke bawah. Menyifatkannya sebagai satu tamparan hebat ke muka kerajaan Pakatan Harapan mungkin terlalu lunak.

Sebagai orang yang kuat tidur, saya faham keadaan ini. Bukan setakat tampar, malah ini sudah menyimbah air ke muka. Lalu kita pun terpinga-pinga.

Di peringkat nasional, PRU14 adalah undi protes kepada parti pemerintah pada waktu itu. Pakatan Harapan tidak ‘menang’, cuma BN yang kalah. Begitu juga halnya kali ini dengan PRK Tanjung Piai. BN tidak menang, cuma PH yang kalah. Saya senaraikan sebabnya kenapa.

Pada PRU14 calon PH, Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan kelebihan 1%. Wee Jeck Seng pada ketika itu memperolehi 20,731 undi.

Pada PRU13, ketika menentang calon DAP, Sdr Mahdzir Ibrahim; Wee memperoleh 25,038 undi. Mahdzir, sahabat saya, berjaya meraih lebih 19,000 undi.

Pada PRU12, Wee menentang Allahyarham Ahmad Ton, juga calon DAP. Wee menerima lebih 23,000 undi.

Ada pola yang dapat kita lihat di sini. Tapak sokongan MCA sejak 2008 kekal sekitar 20,000 undi, dan tapak itu tidak terjejas meski seluruh negara dibadai gelombang perubahan pada tahun lalu.

Persoalan yang mendasar dalam pilihan raya kecil yang ternyata besar kesannya kepada Pakatan Harapan ini ialah, apakah faktor yang menyebabkan tapak sokongan MCA itu langsung tidak bergoyang.

Faktor calon

Pakatan Harapan mempertaruhkan Karmaine Sardini, Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang pada PRU14 lalu, tewas kepada Ahmad Maslan di kerusi Parlimen Pontian.

Berusia 66 tahun, Karmaine memang orangnya lembut tutur kata, baik budi pekerti dan tulus hatinya. Sesuai dengan personalitinya sebagai seorang imam dan pemimpin komuniti. Anak jati Telok Kerang, beliau ternyata dikenali ramai. Tidak sedikit yang berpelukan dengannya ketika beliau bersalaman bertemu pengundi; dan ini tidak terhad kepada pengundi Melayu sahaja.

Berdepan MCA, Karmaine kekal membawa watak santun; tanpa menyerang lawannya.

Wee Jeck Seng pula memang sudah ada rakam jejak yang jelas. Prestasinya di Tanjung Piai, meski tidak sampai standard Kuala Lumpur; adalah mencukupi bagi pengundi tempatan.

Sejak terjun dalam kerja politik seawal 1989 dan membantu Ong Ka Ting pada tahun selepas itu; beliau sememangnya sudah berkhidmat di kawasan bosnya, yang ketika itu masih Parlimen Pontian, sebelum menjadi P165 Tanjung Piai pada tahun 2004.

Biarlah apa pun cerita tentang MCA, BN dan kebobrokan boss mereka; semuanya tak laku. Malah menyerang peribadi Wee Jeck Seng juga menimbulkan rasa kasihan pengundi atas pagar. Cerita jamban canggih juga tidak begitu laku.

Pengundi tidak puas hati?

Mengetahui bahawa MCA punya 20,000 deposit tetap yang tidak berganjak biar seluruh negara bergegar; isu paling besar bagi mereka yang kurang difahami orang Melayu adalah pendidikan. Dari sekecil masalah tulisan jawi, hinggalah ke masalah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman; sebuah insitutisi pengajian tinggi swasta yang dipunyai MCA.

Saya kurang periksa ada berapa banyak sekolah vernakular di sepanjang jalan dari Pekan Nanas sampai ke Kukup. Namun apa yang jelas, pelajar sekolah dengan uniform kelihatan di mana-mana; terutamnya pelajar Tionghua yang sehabis saja waktu sekolah, menggalas beg alat muzik (violin kebanyakannya) ke kelas-kelas tambahan.

Tidak hairan bagaimana ia menjadi peluru utama di ceramah-ceramah MCA, diiringi serangan-serangan lain terhadap janji manifesto yang kekal tersadai, serta lelucon tambahan tentang kereta terbang dan minyak kelapa sawit.

Di Kukup, kempen terhadap pengundi Melayu tidak sama. PAS dan kawan-kawan baharu mereka menjaja cerita bagaimana DAP memainkan politik perkauman sambil menguasai aparat kerajaan. Modal ini mudah dijual, hatta meskipun orang berjalan jauh untuk menyaksikan ceramah Dr Mahathir Mohamad. Sentimen ini tidak dapat dicairkan.

Maka saya tidak hairan. Walaupun di tengah-tengah hangat kempen, cerita keputusan prima facie terhadap Najib Razak meletup dan seakan-akan mengubah tempo; hakikatnya pengundi tidak terpujuk dengan isu nasional.

Penyudahnya, berbekalkan rasa hampa, mereka memilih untuk sama ada tidak keluar mengundi, atau memilih untuk kembali mengundi wakil rakyat sebelum ini yang jauh lebih biasa mereka dekati.

Justeru, yang tinggal untuk dibuat sekarang ialah hal-hal sukar, termasuk menilai semula pendekatan dan strategi komunikasi di zaman parti kerajaan dilihat tidak akan dapat bertahan. Lebih sukar lagi, untuk saling tidak menuding jari; dan lanjut bekerja untuk terus menyelamatkan ibu pertiwi. – 20 November, 2019.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen