AMERIKA Syarikat (AS) semalam mengumumkan untuk menarik balik bantuan ketenteraan dan semua pegawai yang terlibat dalam keganasan terhadap golongan Islam Rohingya yang mencetuskan penghijrahan beramai-ramai.
“Kami menyuarakan keprihatinan kami terhadap kejadian yang berlaku di Rakhine termasuklah keganasan, kekerasan yang mengakibatkan trauma buat Rohingya dan masyarakat lain yang terjejas,” kata jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert ketika mengumumkan kenyataan penarikan itu.
“Mana-mana individu atau entiti yang bertangunggjawab terhadap kekejaman, termasuk pelaku luar harus dipertanggungjawabkan.”
Minggu lalu, Setiausaha Negara, Rex Tillerson berkata AS pemimpin tentera Myanmar “bertanggungjawab” ke atas krisis pelarian Rohingya, menekanankan perbezaannya dengan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.
Beliau berkata warga dunia tidak boleh berdiam diri dan “menjadi saksi kepada kekejaman yang dilaporkan,” selain menambah bahawa pihak tentera seharusnya dihukum dan “dihalang.”
Lebih 600,000 golongan minoriti Muslim itu lari ke Bangladesh dalam krisis kian memuncak itu yang bermula sejak akhir Ogos.
Serangan militan di Rakhine telah mencetuskan tindakan keras kembali oleh pihak tentera yang disifatkan PBB sebagai pembersihan etnik.
Washington sudah mengadakan sekatan ke atas penglibatannya dengan tentera Myanmar, termasuklah sekatan jangka panjang terhadap semua jualan ketenteraan.
Justeru, dengan penarikan bantuan ketenteraan, ia akan mengukuhkan pendirian AS.
Sebagai tambahan, Jabatan Negara AS telah menghentikan pertimbangan untuk perjalanan pemimpin senior tentera Myanmar.
Mereka juga menimbang untuk mengambil langkah-langkah ekonomi terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan “kekejaman.”
Selain itu, AS turut membatalkan undangan anggota kanan pasukan keselamatan Myanmar ke acara-acara tajaan AS.
AS juga mendesak untuk mendapatkan “akses tanpa had” ke kawasan yang terjejas bagi misi mengumpul fakta PBB dan organisasi antarabangsa serta pihak media.
“Kerajaan Myanmar termasuk tentera bersenjatanya harus ambil tindakan segera menjamin keamanan dan keselamatan. Mereka juga patut melaksanakan komitmen untuk memastikan akses kemanusiaan kepada masyarakat yang memerlukan dengan membantu dan menjaga keselamatan buat mereka yang ingin kembali pulang atau mereka yang telah diusir di Rakhine.
“Mereka juga harus mengenalpasti punca diskriminasi terhadap Rohingya,” kata Nauert.
Sejak berdekad lampau warga Rohingya telah dinafikan hak di bumi Myanmar yang bermajoriti Buddha.
Dalam tindakan kekerasan terbaharu, pasukan keselamatan Myanmar telah melepaskan tembakan rambang terhadap orang awam yang tidak bersenjata, termasuk kanak-kanak selain melakukan kekerasan seksual, menurut penyiasat PBB. – 24 Oktober, 2017.
Komen