Eksekutif akaun rugi RM135,000 ditipu lelaki Belanda


SEORANG eksekutif kewangan berputih mata apabila wang sebanyak RM135,000 miliknya lesap selepas terpedaya dengan janji manis seorang lelaki mendakwa warga Belanda yang dikenalinya menerusi laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 37 tahun tersebut memaklumkan berkenalan dengan lelaki yang kononnya bekerja sebagai jurutera itu bulan lepas sebelum mereka menjadi rapat baru-baru ini.

“Lelaki itu yang bijak berkata-kata dan menunjukkan seperti seorang berpengetahuan tinggi telah meyakinkan wanita tersebut yang dia mempunyai projek pembinaan sedang berjalan di Miri, Sarawak sebelum mengajak mangsa berkongsi modal projeknya,” katanya dalam kenyataan, di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata suspek turut memaklumkan dia akan ke Malaysia untuk berjumpa wanita itu dan menjanjikan pulangan lumayan jika mangsa bersetuju untuk berkongsi modal projek tersebut.

Menurutnya, terpedaya dengan janji lelaki itu, mangsa bersetuju untuk berkongsi modal dan membuat beberapa transaksi wang ke beberapa akaun yang diberikan suspek dalam tempoh tiga hari.

Noorzainy berkata wanita itu hanya menyedari dia ditipu selepas gagal menghubungi lelaki berkenaan malah semua mesej yang dihantar juga tidak dijawab oleh suspek sebelum bertindak membuat laporan polis semalam.

“Dalam kes ini mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek, namun hanya percaya melalui media sosial dan percakapan telefon. Polis percaya ia dilakukan oleh sindiket scammer yang memang menggunakan modus operandi sedemikian,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan anggota sindiket itu termasuk pemilik akaun digunakan mereka untuk menipu mangsa. Kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Noorzainy turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang dikenali melalui laman sosial yang tidak diyakini identitinya dan memindahkan wang kepada akaun tidak dikenali.– Bernama, 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen