Tawarlah RM1 juta, Prabakaran tetap enggan serah kerusi Batu


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata, tawaran seperti itu tidak asing baginya kerana pernah menerima tawaran wang jutaan ringgit untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRU14.

AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran tetap enggan tunduk kepada desakan mengosongkan kerusi parlimen itu meskipun ditawarkan RM1 juta.

Ahli Parlimen termuda itu berkata, tawaran seperti itu tidak asing baginya kerana pernah menerima tawaran wang jutaan ringgit untuk menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Saya diamanahkan oleh penduduk parlimen ini dan jika saya menerima RM1 juta, saya perlu menjawab kepada 1 juta penduduk.

“Ketika bertanding di bawah tiket bebas pun saya dah pernah dapat tawaran bernilai jutaan ringgit, jika saya terima sekarang apa akan jadi pada prinsip saya?” soalnya kembali.

Beliau menegaskan demikian dalam soal jawab yang disiarkan secara langsung dalam talian oleh Sinar Harian hari ini.

Katanya lagi, golongan muda sepertinya tidak akan memasuki kancah politik sekiranya hanya mengutamakan wang ringgit.

“Saya yang baru berusia 23 tahun membuat keputusan untuk bertanding sebagai ahli Parlimen dengan niat menyelesaikan isu rakyat di parlimen itu.

“Kalau saya fikir mengenai duit, sudah lama saya lari. Saya tegas dengan prinsip dan akan fokus kepada isu rakyat dan cara penyelesaiannya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan terus bertanding di kerusi tersebut dalam pilihan raya umum akan datang, pelajar jurusan undang-undang itu berkata beliau belum memutuskan perkara itu.

“Biar saya lakukan tugas dan tanggungjawab, biar rakyat yang menilai saya sendiri. Ia juga bergantung kepada keputusan kepimpinan parti, biar mereka buat keputusan,” katanya.

Beliau bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu atas tiket PKR, menggantikan penyandang kerusi itu, Tian Chua yang dilucutkan hak bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya waktu itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November bagaimanapun memihak kepada Chua yang mencabar sekatan tersebut, dan memutuskan naib presiden PKR itu layak bertanding.

Susulan itu, timbul desakan daripada 14 pertubuhan agar Prabakaran memberi laluan kepada Chua untuk kembali menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Chua kini merupakan pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia dan juga penasihat khas kepada menteri kerja raya.

Beliau mewakili kerusi Batu selama dua penggal sejak tahun 2008 hingga 2018. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen