Azmin jumpa pembangkang demi kestabilan politik, kata timbalan menteri PKR


Diyana Ibrahim Ravin Palanisamy Lee Chi Leong

Pertemuan wakil rakyat pembangkang dengan Azmin Ali malam tadi bukan untuk menyekat Dr Mahathir Mohamad daripada meletak jawatan, kata Kamarudin Jaafar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2019.

PERTEMUAN dengan ahli Parlimen pembangkang malam tadi bukan untuk menyekat Dr Mahathir Mohamad daripada meletak jawatan, kata seorang timbalan menteri PKR yang hadir ke pertemuan itu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Kamaruddin Jaafar berkata, ia sebaliknya hanya membincangkan soal masa depan negara dan mengukuhkan kestabilan politik.

“Tiada apa yang penting, yang kita bincangkan tentang masa depan negara, perlunya perpaduan negara.

“Perlunya diredakan dan dikurangkan politiking antara ahli politik dan menumpukan pembangunan dan kestabilan politik,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, pertemuan itu juga untuk memberi taklimat kepada ahli Parlimen BN itu mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Beliau juga menjelaskan, pertemuan itu diadakan bersama 17 ahli Parlimen Barisan Nasional dan bukan 22 seperti yang dilaporkan.

Kamaruddin yang juga timbalan menteri pengangkutan antara lima pemimpin PKR yang dilaporkan hadir dalam pertemuan diadakan di kediaman Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Ketika ditanya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau dimaklumkan mengenai pertemuan itu namun tidak mengetahui butiran perbincangan terbabit.

Agenda sebenar pertemuan itu juga tidak diketahui Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menuntut Azmin menjelaskan perkara itu.

Biro Politik PKR juga mengumumkan akan bermesyuarat bagi membincangkan pertemuan itu dan Lembaga Disiplin Umno pula akan menyiasat wakil rakyatnya yang terlibat.

Antara ahli Parlimen BN terbabit termasuklah bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein yang sebelum ini didakwa berusaha membawa ahli Parlimen parti itu menyertai parti kerajaan.

Hishammuddin hari ini menafikan beliau mengatur pertemuan tersebut dan menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh Umno.

Pertemuan di kediaman Azmin di Putrajaya pada malam tadi pada awalnya dilaporkan untuk menghalang usaha menekan Dr Mahathir meletak jawatan.

Tekanan agar Dr Mahahir meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada Anwar itu semakin kuat selepas prestasi buruk PH dalam PRK Tanjung Piai, Sabtu lalu. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen