Paul Yong kembali jalankan tugas exco, kata menteri besar Perak


Kenyataan Menteri Besar Perak hari ini berkata sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonannya, Paul Yong Choo Kiong mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri yang sedang berlangsung. – Gambar Facebook, 19 November, 2019.

EXCO Perak Paul Yong Choo Kiong kembali menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat sementara menunggu permohonan supaya kes rogol yang dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Ipoh ke Mahkamah Tinggi, menteri besar Perak hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar yang dikeluarkan hari ini, Yong memfailkan permohonan itu pada 13 November dan sedang menunggu dipertimbangkan mahkamah.

“YB Paul Yong telah memaklumkan hasratnya untuk kembali menjalankan tugasan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, di atas prinsip beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah. 

“Sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung permohonannya, YB Paul Yong mempunyai tanggungjawab untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri yang sedang berlangsung dan juga menjawab soalan-soalan berkaitan dengan portfolio Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru yang dipegang oleh beliau,” menurut kenyataan itu.

Yong, 49, didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Ogos atas tuduhan merogol pembantu rumahnya. Beliau mengaku tidak bersalah.

Jumaat lalu, Yong mengumumkan mahu kembali bertugas walaupun sebelum ini berkata beliau bercuti untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan kes di mahkamah.

Yong berkata beliau kembali menjalankan tugas selepas berbincang dengan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Keputusannya itu dipercayai tidak mendapat restu partinya selepas tular di aplikasi WhatsApp tentang rakaman suara mirip Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming membidas keputusan Yong itu.

Dalam rakaman audio sepanjang 18 saat itu, suara mirip Nga itu membidas seseorang yang disifatkannya “memakai baju DAP, mengambil gaji DAP tetapi besar kepala”.

Nama Yong tidak disebut dalam rakaman itu tetapi klip itu juga diselitkan dengan perkataan ‘Tangan Gelap’ selain terdapat terjemahan Bahasa Melayu serta laporan akhbar Cina yang melaporkan Yong kembali bertugas. – 19 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen