LEMBAGA Disiplin Umno menyiasat sekumpulan ahli Parlimen parti itu yang dilaporkan menyertai pertemuan tertutup dengan menteri PKR, Mohamed Azmin Ali.
Pengerusi lembaga itu Apandi Ali berkata siasatan itu dijalankan ekoran aduan diterima berhubung pertemuan di kediaman Azmin di Putrajaya malam tadi.
“Lembaga disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.
“Perlu ditegaskan, lembaga disiplin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa tertentu di bawah perlembagaan Umno,” kata Apandi dalam kenyataan.
The Malaysian Insight difahamkan pertemuan itu disertai sekurang-kurangnya 22 orang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), termasuk bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.
Pertemuan dua jam yang difahamkan bermula jam 9.30 malam itu turut disertai lima ahli Parlimen PKR, termasuk Azmin.
Ia dipercayai bertujuan menyekat tekanan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) agar Dr Mahathir Mohamad segera menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Individu yang meninggalkan kediaman terbabit selepas pertemuan itu dilaporkan enggan bercakap kepada pemberita.
Sejak beberapa bulan lalu, Hishammuddin didakwa berusaha menggerakkan pengikutnya untuk menyertai PH. – 19 November, 2019.
Komen