Mahkamah seksual kanak-kanak terima 293 kes dalam tempoh 3 bulan


Yasmin Ramlan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said berkata sebanyak 293 kes diterima oleh Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak sejak ia ditubuhkan pada 22 Jun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2017.

SEBANYAK 293 kes didaftarkan di Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak sejak Jun hingga September tahun ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman, jumlah itu dicatatkan sejak ia ditubuhkan pada 22 Jun sehingga 8 September 2017.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 248 kes (84%) telah dilupuskan dalam tempoh tiga bulan,” katanya menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto (DAP) yang bertanyakan bilangan kes dibawa ke mahkamah tersebut.

Azalina berkata lagi, mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negeri di Malaysia.

Kini ia hanya ditubuhkan di Putrajaya untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah seksual terhadpa kanak-kanak dalam daerah Shah Alam, Petlaing Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dna Wilaya Persekutuan Putrajaya.

Tambahnya, menurut Seksyen 16 Akta 792 memperuntukkan hukuman yang dikenakan terhadap orang yang menyalahgunakan perhubungan amanah, memandangkan kesalahan seksual yang dilakukan kebanyakannya melibatkan orang yang dikenali kanak-kanak itu sendiri.

Ini termasuk mereka yang terdiri dari anggota keluarga dan orang yang mempunyai hubungan rapat dengan kanak-kanak tersebut.

“Perincian mengenai mangsa dan pemangsa (Orang Kena Tuduh) bagi kes antara 22 Jun 2017 hingga 8 September 2017 dari segi hubungan adalah satu kes melibatkan bapa mangsa, tiga kes melibatkan bapa tiri mangsa dan 10 kes melibatkan orang luar.

“Manakala perincian mengenai pemangsa (OKT) mengikut pecahan kaum adalah tiga kes melibatkan kaum Melayu, tiga kes kaum Cina, tiga kes kaum India dan lima kes melibatkan warganegara asing. Pendirian ini dibuat berdasarkan individu dan bukan pertuduhan untuk tempoh masa tertentu,” katanya.

Pada awal Ogos lalu, seorang bapa berusia 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak Kuala Lumpur atas 182 pertuduhan meliwat, merogol dan melakukan seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berusia 15 tahun.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam antara jam 6 pagi hingga 12 tengah malam; 1 hingga 19 Januari, 2017; dan setiap hari sepanjang Mac 2017. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen