Kes kematian Beng Hock, polis ambil keterangan 5 orang termasuk bekas exco


Teoh Beng Hock ditemui mati pada 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan pejabat SPRM Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

POLIS sudah merakam keterangan lima individu termasuk bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah dalam siasatan semula kes kematian Teoh Beng Hock.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata selain Ean, turut diambil keterangan ialah bekas Adun Kota Alam Shah M Manoharan.

Selain itu, wartawan News Straits Times Tricia Yeoh yang menulis artikel tentang kematian Teoh diterbitkan pada Julai lalu juga akan dipanggil memberi keterangan.

“Polis juga akan memanggil beberapa saksi awam termasuk SPRM bagi siasatan lanjut untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat ini. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara bagi sebarang arahan lanjut dari masa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Azam juga mendedahkan pasukan polis sudah membentuk pasukan khas terdiri daripada pegawai Bukit Aman dan polis Selangor untuk siasatan semula kes.

Pada 2009, Teoh yang ketika itu adalah pembantu Ean ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, beberapa jam selepas disoal siat oleh SPRM Selangor di pejabat tingkat 14 bangunan sama.

Siasatan Suruhanjaya Diraja kemudian mendapati kematian Teoh disebabkan bunuh diri kerana teknik soal siat agresif digunakan pegawai SPRM.

Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata bukti tidak mencukupi untuk mengelaskan kejadian itu sebagai kes bunuh diperlukan di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan, walaupun arahan kepada polis untuk mengutip bukti dibuat berdasarkan kemungkinan wujud kes bunuh.

“Siasatan daripada Jabatan Peguam Negara kepada polis untuk membuka kes dibawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan hanyalah kerana prosedur pentadbiran,” kata Thomas dalam surat dikirimkan kepada peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh.

Dalam jawapan balas kepada Thomas, Ramkarpal berkata siasatan terbaru ke atas kematian Teoh perlu tertumpu kepada pembunuhan dan bukannya penahanan salah.

Ramkarpal juga mendesak Thomas menjelaskan kes itu disiasat kerana penahanan salah dan bukannya bunuh sedangkan Teoh mati ketika dalam tahanan pegawai SPRM. – 18 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen