TERPULANG kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menerima keputusan PRK Tanjung Piai sebagai pungutan suara rakyat mengenai kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Hishammuddin Hussein.
Bekas naib presiden Umno itu berkata perkara itu biar ditentukan sendiri oleh PH.
“Itu masalah dalaman mereka, bukan urusan kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Susulan PH kalah pada PRK Tanjung Piai pada Sabtu lalu, Dr Mahathir digesa supaya mempercepatkan penyerahan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sembrong itu enggan mengulas mengenai peralihan undi pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya fikir ramai yang tidak puas hati dan dulu saya pernah suarakan perkara ini, bahawa kerajaan perlu bekerja. Perlu tunaikan janji kepada pengundi Tanjung Piai. Mesti tunaikan,” katanya.
PH kalah teruk Sabtu lalu selepas calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti 15,086 undi, mengalahkan calon PH Karmaine Sardin.
Wee dari MCA memperoleh 25,466 undi, manakala Karmaine dari Bersatu memperoleh 10,380 undi.
Calon Gerakan Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz; Berjasa (850), manakala calon Bebas, Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (32).
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu. – 18 November, 2019.
Komen