MASJID Sultan di Singapura akan membuka pintunya kepada gelandangan untuk berehat dan tidur pada waktu malam, lapor Berita Mediacorp.
Masjid yang secara tidak rasmi dianggap “masjid negara” Singapura itu menyediakan bilik khas yang dibuka antara 10 malam hingga 7 pagi keesokan harinya untuk mereka berteduh.
“Isu gelandangan ini kian meningkat di Singapura. Masjid Sultan berasa bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tidur yang selamat dan selesa untuk golongan ini sementara mereka menunggu atau mencari tempat tinggal yang tetap,” kata pegawai pembangunan sosialnya Muhammad Aizuddin Jamaludin.
Beliau dipetik menjelaskan bilik untuk gelandangan tersebut ialah dewan serbaguna di tingkat bawah yang terletak di bangunan tambahan masjid berusia 200 tahun itu.
Usaha Masjid Sultan ini dibuat dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga republik.
Aizuddin juga dilaporkan berkata bantuan kepada gelandangan itu pada masa ini terhad untuk warga tempatan dan lelaki saja kerana kemudahan yang terbatas. Kemudahan itu bagaimanapun terbuka kepada gelandangan tanpa mengira bangsa.
Mereka juga mengenakan syarat antaranya seseorang gelandangan hanya boleh menggunakan kemudahan tersebut untuk beberapa malam, sementara pihak kementerian menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan yang akan membantu mereka mendapatkan tempat tinggal.
Inisiatif Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura ini dibuat melalui rangkaian kerjasama 26 pertubuhan masyarakat yang dibentuk untuk membantu golongan gelandangan. Usaha itu bermula sejak dua tahun lalu.
Menurut laporan itu, selain Masjid Sultan, lima gereja dan sebuah kuil Buddha turut menyediakan kemudahan sama untuk gelandangan berteduh pada waktu malam.
Inisiatif Masjid Sultan ini menjadikannya masjid pertama di Singapura yang menyediakan khidmat dan kemudahan seumpama itu, kata laporan Berita Mediacorp.
Laporan itu juga memetik kajian Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew yang mencatatkan terdapat sekitar 1,000 gelandangan di Singapura yang biasanya tidur di tempat merata tempat dan terbuka. – 18 November, 2019.
Komen